Cerita Tentang Dia
Liat. Masih liat tubuh ini untuk bangkit dari lenaku. Berkali-kali juga ibu menyeru namaku. Tidak manis katanya bila anak dara seperti aku bangun selewat ini. Ah, awal lagi. Bukankah jarum jam di dinding masih menunjukkan pukul tujuh pagi. Mengapa ibu sudah lantang meleter aku, walhal pagi masih buta.
“Jam tu rosak. Dah tengah hari buta masih lagi nak membuta. Bangun cepat. Pinggan mangkuk dah tunggu lama.” Ibu mematikan leterannya seraya menutup rapat pintu bilik. Kedengaran dari jauh gagah tapak kakinya melangkah ke ruang tamu. Aku masih lagi liat. Masih liat untuk bangkit. Berkali-kali juga aku memaksa diri untuk bangkit dari lena. “Assalamualaikum ibu. Selamat pagi” Ungkapku ringkas. Ibu menyambut salamku sambil tersenyum sinis. Walau tampak kelat senyuman yang dilemparkan itu, namun masih tetap membawa aura kemanisan seorang ibu di mata aku.
“Wah…karipap. Sedapnya!”
“Macam mana? Kepala dah tak pening?” Tanya ibu. Begitu mudah riaknya beralih dari wanita garang kepada wajah seorang ibu penyayang. Hebat bukan ibuku ini? Kekagumanku barangkali semakin memuncak terhadapnya.
“Alhamdulillah, dah baik sikit. Bas yang Anis naik dah uzur. Tu yang pening semacam semalam.” Jelasku menceritakan pengalaman menaiki bas ekspress yang sudah uzur. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa cuma 6 jam jadi 10 jam dibuatnya. Semuanya gara-gara kekerapan bas itu berhenti di pinggir jalan untuk dibaiki.
“Alhamdulillah, yang penting Anis dah selamat sampai.” Ujar ibu. Ibu hulurkan secawan kopi padaku dan aku menyambutnya dengan senyuman. Sememangnya aku merindui suasana ini. Aku rindu ibu, sungguh. Hampir dua bulan tidak menjejakkan kaki ke rumah, masakan ibu dan senyuman ibu adalah perkara yang paling aku rindui. Tapi aku sedar, tuntutan pelajaran membuatkan aku terpaksa akur. Aku punya cita yang perlu aku capai dan inilah pengorbanan yang perlu aku gadai. Seusai sarapan, ibu mengajak aku ke halaman rumah. Rumput-rumput sudah mulai memanjang katanya.
Ini rutin yang selalu kami lakukan bersama. Membersihkan rumah, bercucuk tanam dan ada kalanya aku ikut serta berniaga di pasar bersama ibu.
“Pokok-pokok bunga kat depan rumah tu dah nampak layu sangat.” Aku menembak ayat yang pada hakikatnya tidak mahu untuk kuluah. Mudah
sangat lidah ini
membicarakan soal itu tanpa kerelaan akalku. Ibu menghentikan langkahnya.
Tangan yang dari tadi sibuk mencantas rumput juga turut sama dikakukan.
Tanpa jawapan pantas, ibu terus sahaja memanahkan
pandangannya ke arah pokok-pokok bunga di halaman rumah. Ibu kaku tanpa suara. Menggamit suasana hening untuk singgah ke segenap penjuru jiwa. Dari sudut pengertian ini, aku melihat ibu gigih menahan air mata untuk jatuh. Segera ibu mengetap bibirnya.
“Semua benda akan melalui fasa itu. Benda baru akhirnya akan jadi benda lama. Barang yang kukuh pula akan jadi barang yang usang nanti. Begitulah kitaran hidup.” Ibu mula bersuara.
“Ibu dah jaga bunga ni dengan baik. Tapi nampaknya, bunga-bunga ni juga nak berganti agaknya.” Tambah ibu lagi. “Macam perabot-perabot dalam rumah ni!” Sambungku ringkas lalu mengundang tawa kecil ibu. Tanpa berdalih terus sahaja aku pamerkan seukir senyuman buat ibu. Aku juga mahu jadi wanita sehebat ibu. Membesarkan aku dan Ahmad tanpa suami di sisi. Dialah ibu yang membelai, dialah juga ayah yang memimpin. Saat masih terkapai-kapai membina kekuatan, ibu dengan gigih menyulam keyakinan. Ibu kata, dia yakin sakitnya hari ini pasti terbalas dengan manis saat melihat kami berjaya kelak.
“Kejap lagi, ibu nak ke rumah tok penghulu. Nak tolong Mak Piah buat persiapan perkahwinan Syahira. Nak ikut sekali ke?” Tanya ibu bersungguh. Aku sekadar menggelengkan kepala.
“Anis tahu tak minggu depan Syahira nak nikah?” Tanya ibu lagi.
“Tahu! Sya mesej Anis. Kata minggu depan dia nak nikah.” Jelasku. Ibu angguk.
“Baiklah kalau macam tu.” Ujar ibu. Aku senyum.
“Sampaikan salam Anis pada Sya ye bu.” Pesanku. Ibu angguk sebelum meninggalkan aku sendiri.
Nama Syahira tidak begitu asing bagi aku. Sahabat yang sama membesar. Sahabat yang sama menempuh suka dan duka. Abang aku, Ahmad telah sekian lama menaruh rasa istimewa pada dia. Suka dari darjah satu katanya. Namun sehingga hari ini, Syahira tidak pernah tahu akan hal itu. Entahlah, sukar untuk kutafsirkan kerumitan ini.
“Anis sangat rindukan Ahmad.” Bisikku kecil. Pandanganku terpacak pada gambar potret seorang lelaki yang seakan tersenyum manis ke arahku.
“Rosak ke? Ibu memang dah lama tak nampak kereta ni gerak.” Tanya ibu mohon kepastian.
“Boleh pandu lagi.” Ujar Ahmad. Ibu angguk.
“Hati-hati memandu.
Jangan bawa laju sangat.”
“Baiklah ibu. Janganlah risau sangat. Dekat je pekan tu.”
Jelas Ahmad. “Ahmad nak pergi dah ni. Mak cik Siah pesan balik cepat sikit. Ayam tu nak masak untuk kenduri malam nanti.” Ujar Ahmad. Petang tadi Mak cik Siah datang meminta pertolongannya untuk membeli ayam tambahan bagi majlis kesyukuran.
Pakcik Saman dan menantunya masih belum pulang dari mengundang tamu. Cuma pada Ahmad tempat dia meminta tolong ketika ini, jelas Mak cik Siah. Ahmad kenyitkan mata pada aku. Mengisyaratkan ibu untuk memandang aku.
“Anak dara tak manis duduk termenung jauh. Dah mandi belum?” Tanya ibu. Ahmad cuma gelak kecil. Aku gelengkan kepala sambil mengetap bibir protes terhadap tindakan Ahmad. Dia selalu sahaja mahu mengenakan aku dan menggunakan ibu untuk membuli aku. Namun ternyata itu tanda kasihnya pada aku dan kesyukuran ini selalu dipanjatkan kehadrat-Nya kerana aku punya abang seperti dia.
“Eh, budak kecil. Tolong jagakan ibu ye.” Pesan Ahmad sebelum kakinya melangkah menuruni anak tangga.
Aku menghela nafas panjang lalu kuhembus perlahan. Sebolehnya, aku tidak mahu mengenangkan perkara itu namun sering kali juga aku tertewas dengan perasaan sendiri. Aku terus melangkah masuk ke ruang tamu. Perlahan-lahan tubuhku menjejak permukaan sofa. Seketika juga aku cuba untuk menutup mataku tanpa relanya. Lalu yang tinggal kedengaran cumalah irama keletihan kipas dinding yang kian usang. Letih yang belum bersudah, mengajak lena untuk menjengah semula.
“Dah lama ke ibu sampai?” Sapaku setelah kudapati ibu sudah berada di ruang dapur.
“Kenapa tak kejutkan Anis? Anis tertidur. Lupa nak masak untuk ibu.” Jelasku.
“Takpelah Anis, biar ibu yang masakkan.” Aku senyum. Ayat itu yang nyatanya aku nantikan dari tadi. “Macam mana persiapan majlis tu? Okey tak?” Tanyaku.
“Semuanya dah hampir siap. Tinggal nak tunggu majlis berlangsung je lagi.” Jelas ibu dengan nada gembira. Pandangannya dimatikan ke arahku pula.
“Bila agaknya anak dara ibu ni nak kahwin?” Tanya ibu. Sedikit menggoncangkan cakerawala jiwaku.
“Nak tunggu ibu bawakan calon untuk Anis.” Ujarku. Ibu senyum.
“Betul ni?” Tanya ibu lagi sambil senyumnya melebar.
“Tak! Anis gurau jelah.
Ibu janganlah serius sangat!” Tiba-tiba kekhuatiranku memuncak. Aku lihat
kesungguhan ibu.
Entah-entah esok juga calon tersebut diperkenalkan
padaku. Aku kenyitkan mata lalu kugenggam jemari ibu. Kusandarkan kepala pada bahu ibu sambil mata tanpa dipinta tertutup rapat.
“Bukan aku tak nak. Aku tak mampu lagi. Aku takde kerja tetap. Budak setakat SPM macam aku ni, kena berjihad dulu dengan diri sendiri. Kena kumpul duit banyak-banyak dulu sebelum nak mendirikan masjid. Biar tak susah anak bini nanti. Biar mampu jaga ibu sekali. Takkan aku nak letakkan tanggungjawab tu kat kau.”
Suara Ahmad terngiang-ngiang ditelingaku. Ungkapan dalihnya saat aku pinta dia untuk berkahwin segera dengan Syahira masih terpahat dalam ingatan. Ibu juga sudah bersetuju. Ibu juga berkenan dengan Syahira. Namun, jodoh Syahira bukan tertulis bersama Ahmad. Itu ketentuan. Semua orang hanya mampu merancang. Sedangkan Allah menentukan segala-galanya. Dan aku tahu, Dialah sebaik-baik perancang.
“Mengelamun pula anak ibu ni.” Suara ibu mematikan lamunanku.
“Taklah!” Bantahku dengan nada bermanja.
“Berangan ke? Berangan apa?” Tanya ibu lagi.
“Anis berangan kahwin dengan anak raja” Usikku. Ibu ketawa kecil
Usai solat Asar, terus sahaja aku mahu menjejakkan kaki ke pondok binaan Ahmad. Melihat indahnya kuntuman bunga orkid berwarna ungu di halaman rumah, mengingatkan aku pada indahnya lesung pipit di pipi kiri Ahmad. Ahmad suka bercucuk tanam. Pokok-pokok yang ada di sekitar rumah ini, Ahmad yang tanam. Rutinnya, petang-petang begini Ahmad akan mengait pokok kelapa dan kami akan minum bersama-sama di pondok ini. Bergelak tawa. Bercerita tentang semua perkara. Jujur aku benar-benar rindu saat itu.
“Ibu rasa duit yang abang kamu kumpul tu nak sedekahkan je ke rumah anak-anak yatim.” Ujar ibu seraya menghampiriku.
“Duit tu ke?” Tanyaku. Ibu angguk.
“Ibu ada bagi separuh dari duit tu pada tok penghulu. Nanti bolehlah guna duit tu untuk kenduri kahwin Syahira. Hajat abang kamu kan begitu.”
“Kalau ibu rasa itu yang terbaik, Anis ikut je.” Aku mematikan bicaraku.
“Ibu…” Ucapku lembut sambil menahan sebak. Ibu tatap aku dengan senyuman. Aku peluk ibu seeratnya. Ibu begitu hebat. Dia tahu wang tersebut dikumpul untuk meminang Syahira. Walaupun plotnya barangkali berbeza, namun masih ibu mahu menunaikan apa yang dihajati Ahmad.
“Rindu Ahmad?” Tanya ibu lagi. Aku angguk.
“Doakan yang baik-baik
untuk dia.” Ujar ibu penuh makna.
Ah, ternyata akhirnya aku kalah. Kalah pada kerinduan
ini. Aku juga mahu tampak tabah seperti ibu. Namun, nyata aku belum cukup kuat untuk itu. Kerinduanku terhadap Ahmad kembali membuak-buak. Aku rindu telatahnya. Aku rindu keprihatinannya. Aku juga rindu akan ketegasannya. Iya. Ahmad sudah tiada. Aku kehilangan dia yang kukira seorang abang yang baik. Dia abang yang kuhormati. Perginya membawa bersama keceriaan kami. Ahmad yang kukenal sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga. Dia berkerja keras untuk menjaga ibu. Meskipun tiada kerja tetap, disisiku dia seorang abang yang begitu hebat.
Mana mungkin aku lupa. Saat baru kehilangan Ahmad, Mak cik Siah dan keluarga menuntut tanggungjawab kami di atas kerosakkan maha dahsyat kereta yang dipandu Ahmad. Mereka juga yang datang meminta tolong pada Ahmad.
Kemudian tanpa belas kasihan menuntut kami membayar ganti rugi. Apa ada pada kami? Sungguh tergamak mereka memperlakukan kami sekeluarga sebegitu rupa. Namun ibu sentiasa mengajarkanku segala perkara. Ketabahan dan ketelusannya selalu memadam gelora kemarahanku. Senyumannya saat ditimpa pelbagai masalah memantangkan aku.
Ternyata benarlah kata ibu, sabar itu adalah kunci kebahagiaan. Begitu kukagumi kehebatan ibu atas segala perkara. “Dah siap?” Tanya ibu.
“Bila majlis nak mula?” Tanyaku bersungguh.
“Dalam pukul 10 pagi rombongan lelaki akan datang.”
“Sekarang baru pukul 8.” Rengekku.
“Ibu nak tolong-tolong sikit. Walaupun tak dapat buat majlis tu untuk abang kamu, ibu akan rasa lebih tenang dan gembira bila tengok majlis Syahira berjalan dengan lancar. Malah, bila tengok Syahira tersenyum, ibu dapat bayangkan kegembiraan Ahmad juga.” Jelas ibu. Ibu kesat linangan air mata di kelopak matanya dan aku lihat betapa ibu gigih menahan sebak yang kian memuncak. Sungguh bagiku, ibulah wanita terhebat!