Ahad, 20 Disember 2015

Tak apalah papa, mama tak kisah

Aku bungkam. Jambangan bunga yang dikirim aku bawa ke hidung. Wangi. Sudah seminggu berturut-turut jambangan bunga ini sampai ke meja receptionist dan sudah seminggu berturut-turut juga aku mengutip jambangan ini di meja Ayu budak receptionist. Apa mimpi lelaki ini?
“Romantiknya suami akak ya? Dah seminggu bagi bunga,”
Romantik? Itu yang aku musykil tu. Tapi,itu kisah seminggu yang lalu. Kisah yang membuat satu pejabat cukup bingit dengan suara puji dan mengusik. Malu aku dengan bos dan staff bawahanku. Yelah, mana pernah dapat bunga? Tiba-tiba seminggu berturut dapat bunga. Hari ini? Pun sama. Satu kejadian aneh juga yang berlaku. Hari ini aku dapat kad. Dari rumah lagi aku disuakan dengan berkeping-keping kad kecil.
[Selamat pagi sayang. I love you]
Itu kad pertama yang aku jumpa di atas meja solek saat aku hendak bersiap ke pejabat. Tergamam seketika. Rasa bahagia membuak tiba-tiba. Ingin aku ucapkan terima kasih pada suamiku yang juga sedang bersiap ingin ke pejabat. Tapi, wajahnya nampak cukup selamba. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Hmm. Malas pula aku nak bersuara. Sudahnya kad aku simpan di dalam laci. Bagi kad, tapi, tiada perasaan. Menyampah.
[Terima kasih untuk sarapan yang enak saban pagi. Terima kasih, sayang]
Kad kedua. Di atas meja makan selepas kami menikmati sarapan pagi. Aku ingin senyum dan ingin memeluk suamiku, tapi, bila aku melihat wajah tanpa perasaannya, aku jadi tawar hati lagi.
[Papa sayang mama. Sejak dulu, kini, dan selamanya]
Kad ketiga. Aku jumpa di dalam beg tanganku ketika aku hendak mengeluarkan telefon bimbit. Peliknya. Kenapa suamiku berubah sampai begini sekali? Sungguh drastik. Memang aku mengharapkan layanan seromantik ini daripadanya. Tapi, bila dia betul-betul menjadi romantik, hatiku menjadi gusar pula. Tujuh tahun berkahwin, usahkan sejambak bunga, sekuntum bunga pun dia tidak pernah hadiahkan padaku. Tujuh tahun berkahwin, mana pernah dia beri aku kad. Kalau ada sambutan hari istimewa pun, dia sekadar mengucapkannya padaku bersama satu ciuman di pipi. Kemudian dia akan tanya apa yang aku mahu? Kalau hari ulang tahun kehiran, apa hadiah hari jadi yang aku nak? Kalau ulangtahun perkahwinan, apa hadiah ulangtahun yang aku nak? Cukup dengan itu sahaja. Tapi, kini?Apa agenda suamiku ini? Dan, yang aku perasan, sejak dua minggu kebelakangan ini, kami sudah jarang bergaduh. Walhal, dulu, itu adalah agenda harian kami. Ada saja perkara yang menjadi pokok pertelingkahan. Rindu pula rasanya. Rindu nak bergaduh. Aku tersenyum. Dalam senyum, hati masih tertanya-tanya. Kenapa suamiku berubah? Entah-entah ini umpan tak? Entah-entah dia ada perempuan lain tak? Buat baik sebab nak minta izin kahwin lagi satu. Tidak!!!!
****
“Papa.. tolong tidurkan adik ni. Mama nak siapkan report ni,”aku memanggil suamiku apabila rasa geram sudah menjentik hati melihat anak bongsuku membuat perangai. Dan, suamiku tanpa banyak bicara, terus mendukukung anak bongsu kami, masuk ke bilik tidur.
Itu kejadian tiga hari lepas. Kalau sebelum ini, cukup payah mahu menghulur tangan melayan kerenah anak. Tiba-tiba dia jadi bapa penyanyang pula.
“Mama. Berapa kali papa cakap, bunga ni, nak kena siram selalu. Takkan kerja mudah macam ni, tak boleh nak buat,”
“Lupalah papa. Mama banyak kerja,”
“Kan dah layu. Tak cantik,”
“Alah. Biarkanlah. Tak pun, nanti mama beli pokok bunga baru. Ganti bunga papa tu,”
Suamiku diam. Terus berlalu. Peliknya. Padahal, sebelum ini, kalau bunga-bunga kesayangannya itu layu sedikit, pasti satu petang aku harus tadah telinga mendengar bebelannya. Itu pula peristiwa dua hari lepas.
“Mama. Macam mana mama nak buat kerja ni? Bersepah. Kemaslah dulu,”
Aku pandang barang-barang permainan anak-anak yang memenuhi lantai.
“Nantilah. Mama malas nak stop kerja mama ni. Nanti kerja mama siap, mama kemaslah,”
Suamiku terus mencapai barang mainan anak-anak. Dia yang tolong kemaskan. Peliknya. Kalau tidak, memang aku kena tadah telinga lagi. Kerja suka bertangguhlah. Asyik nanti..nanti.. nanti..
Tapi, kenapa suamiku tidak marah? Sudah lama kami tidak bertengkar ni. kenapa dengan suami aku ni? Pelik sungguh perangainya sejak akhir-akhir ini. Aku ingin bertanya. Tetapi, mulut terasa berat pula.
****
“Hah?! Apa papa?,”
“Candle light dinner,”
Aku letak jariku di dahi suamiku. Normal.
“Are you okay, papa?,”
“Of courselah mama. Malam ni, pukul lapan. Anak papa sudah hantar rumah mak,”
Itu bicaranya siang tadi, sewaktu dia singgah di pejabatku.. Dan, sekarang, kami sama-sama menikmati hidangan makan malam yang romantik. Bisu. Kelu. Kaku. Cuma sudu dan garfu yang sesekali menjeit bila berlaga. Romantik apa kalau senyap sunyi macam ni? Pelik betul suamiku ini.
“Papa. Mama tanya sikit, boleh?,”
“Tanyalah,”suamiku menjawab sambil menyuap mee sizzling ke mulut. Dia ni,memang. Kalau dah makan, tak ingat apa. Candle light dinner terasa seperti tiada makna apa pun. Sama saja dengan makan nasi di rumah. Tak romantik pun.
“Papa ni kenapa? Mama tengok lain macam je sejak akhir-akhir ni,”
“Lain macam apanya? Tak ada apa yang lainnya?,”
“Yelah.. tak pernah-pernah bagi bunga, tiba-tiba bagi mama bunga. Tak pernah-pernah bagi kad, tiba-tiba bagi mama kad. Selalunya suka marah-marah mama. Arah-arah mama. Tiba-tiba dah tak ada marah mama. Kenapa papa?,”
“Kenapa? Mama tak suka ke?,”
“Tak adalah sampai tak suka. Tapi, pelik. Apa yang papa dah buat ni? Papa ada buat salah dengan mama ya?,”tuduhku sambil merenung wajah suamiku. Suamiku membalas renungan itu.
“Mana ada? Mama ni, cuba jangan suka menuduh,”
“Dah tu? Kenapa tiba-tiba berubah ni? Entah-entah papa ada perempuan lain tak?,”
“MasyaALLah. Mama?! Mulut tu, jangan main tuduh saja tau,”
“Betullah tu. Saja buat baik dengan mama, sebab papa nak kahwin lain kan?,”
Suamiku sudah jegilkan mata. Marah. Aku pula sudah mula nak tarik muncung. Makan malam yang memang tidak romantik itu, bertambah tidak romantik jadinya. Eh, kami dah nak gaduhlah.
“Bukan ke ini yang mama nak papa buat?,”
Aku ternganga.
“Mama nak? Maksud papa?,”
“Papa baca luahan hati mama tu,”
Aku terlopong. Patutlah.
“Kertas yang mama dah buang dalam tong sampah tu?,”
“Yalah. Banyak sangat kekurangan papa di mata mama ya? Sekarang bila papa buat apa yang mama nak, mama bising juga. Nak papa bagi bunga, papa bagi. Nak papa bagi surprise wish, papa bagi. Impikan makan malam romantic, papa bagi. Tapi, mulut tu, tetap juga bising. Serba tak kena. Semuanya salahlah kat mana mama. Papa pun tak tahu apa sebenarnya yang mama nak,”
Aku diam. Begitu ke? Salahlah tuduhan aku tadi. Aku senyum sedikit.
“Yelah. Papa bagi bunga, tapi, tak ada ucapan apa-apa pun. Dari, papa. Tu saja. Dah tu, macam tak ada perasaan saja bagi bunga tu. Bagi ucapan pun sama. Dah bagi kat sana sini, buat muka seposen. Mama nak ucap terima kasih, terus tak jadi. Ni, makan malam ni, pulak.. sama je dengan makan malam kat rumah. Hambar. Papa duk mengadap makanan papa. Mama pula mengadap makanan mama. Cuba tengok orang sekeliling. Sama ke dengan kita. Tak kan?,”aku bersuara sambil memerhati beberapa pasangan yang sedang menikmati makan malam sambil bergurau senda.
“Nak bergurau senda macam mana? Kalau belum apa-apa mama dah ajak papa gaduh?,”
Aku diam lagi.
“Papa dah cuba buat apa yang mama tak puas hati dengan papa selama ni. tapi, mama tetap juga tak puas hati,”
“Kalau buat semata-mata sebab mama nak, tak payahlah papa. Tak ikhlas,”
Suamiku mengeluh perlahan. Perlahan tangannya mencapai jemariku.
“Mama tahu kenapa papa buat semua ni?,”
Aku menggeleng.
****
Sesungguhnya aku khilaf selama ini. Sesungguhnya aku silap selama ini. Kata-kata suamiku membuat aku bagai terjaga dari mimpi yang panjang. Betapa, selama ini aku tidak tahu mensyukuri apa yang aku ada.
“Sebab papa sayang mama. Sebab papa tak mahu mama berasa papa tidak sayang pada mama lagi. Padahal mama tahu kan, macam mana dalamnya sayang papa pada mama. Papa yakin lebih dalam dari rasa sayang mama pada papa. Papa tahu mama terima papa dulu, sebab mama kasihankan papa kan? Semasa papa menitiskan air mata merayu untuk kahwin dengan mama, papa tahu, mama terima sebab kasihan. Papa tak kisah. Sebab papa sayang sangat kat mama,”
Aku tersentuh. Tidak dapat aku nafikan kebenaran kata-kata itu. Memang aku tidak sampai hati melukakan perasaan suamiku. Sebab itulah kami bersatu juga. Tapi, aku bahagia dengan suamiku.
“Mama selalu cakap papa tak caring. Tapi, mama tak tahu papa ingat segalanya tentang kita. Mama ingat baju apa papa pakai semasa pertemuan pertama kita?,”
Aku geleng.
“Papa ingat. Papa ingat mama pakai baju kurung warna merah jambu. Dengan tudung warna kuning cair. Sama dengan warna bunga-bunga kecik kat baju mama,”
Aku terdiam. Terharu.
“Mama ingat tarikh kita jumpa? Tarikh papa ajak mama bertunang? Tarikh papa ajak mama kahwin?,”
Aku diam. Buntu mencari tarikh itu.
“Mama lupa kan? Papa tak lupa. Kita jumpa 4 Jun 1999. Papa ajak mama bertunang genap setahun kita kenal. Pada tarikh yang sama. Empat bulan lepas tu, papa ajak mama kahwin. Bulan Oktober,”
Aku tiba-tiba jadi malu pada diri sendiri.
“Mama ingat kat mana kita jumpa untuk date pertama kita?,”
Aku cuma pandang wajahnya.
“Kat sini kan?,”aku bertanya sambil memandang sekeliling kawasan restoran tempat kami menikmati makan malam itu.
“Betul. Tapi, mama ingat tak meja mana?,”
“Manalah nak ingat. Kan dah lama,”
“Papa ingat. Tu.. kat sana. Dulu dia letak meja kat situ. Sekarang dah tak ada. Dia buat stall,”
Aku terus termangu. Betapa aku silap menilai suamiku selama ini. Itu perbualan kami, saat malam malam tadi. Selepas itu, kami pulang dengan kebisuan. Aku betul-betul kelu selepas itu.
“Mama.. kenapa ni?,”
Aku tersentak . suamiku bergerak ke peti sejuk. Mencari air.
“AKu menggeleng.
“Sudahlah. Dah lewat ni. Jom tidur,”
“PapaĆ¢€¦,”
Suamiku menoleh.
“Teruk sangat ke perangai mama ni, papa?,”
“Perangai mama memang teruk. Degil. Keras kepala. Keras hati. Pemalas pun ada sikit,”
Aku tarik muncung. Janganlah berterus terang sangat. Suamiku tersenyum sambil melangkah rapat padaku. Memegang tanganku.
“Tapi, papa suka. Papa geram bila mulut ni,suka menjawab bila papa marah. Bila papa tegur. Tapi, papa suka. Papa geram bila papa suruh buat itu ini, mama banyak alasan. Tapi, papa suka. Papa geram bila mama nak menang sendiri saja. Tak reti nak mengalah. Tapi, papa tetap suka. Sebab, bila papa terima cinta mama, bermakna papa terima segala kekurangan dah kelemahan mama,”
“Tapi, mama tak. Kan? Mama mengharapkan Sesuatu yang papa tak boleh bagi, padahal banyak lagi benda lain yang lebih bermkana yang papa bagi pada mama,”aku bersuara perlahan.
“Mama nak papa jadi romantic. Papa dah cuba. Papa dah cuba jadi orang lain, demi mama,”
“Tak apalah papa. Lepas ni, papa tak payah romantik lagi. Mama suka papa macam ni. Mama tak boleh paksa papa jadi sesuatu yang bukan diri papa. Mama salah. Mama sepatutnya terima papa seperti papa terima mama. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Bukan mencari kekurangannya, kan?,”
Suamiku senyum.
“Mungkin sebab, kebelakangan ni, mama suka baca novel cinta kot. Sebab tu, suka fikir yang pelik-pelik macam tu,”aku bersuara sambil tersenyum kecil.
“Mama memang suka fikir benda pelik-pelik,”
Aku tertawa.
“Mama minta maaf ya, papa,”
Suamiku senyum sambil menarikku ke pelukannya.
“Walaupun papa tak pandai nak berkata-kata. Nak buat perkara-perkara yang romantik, tapi, mama percayalah, cinta papa pada mama tak kurang sedikit pun,”
“Hmmm.. tapi, rasanya macam ni, dah romantik sikit kot,”ujarku berseloroh. Suamiku tergelak. Memandang lama wajahku. Membuat aku sedar, sebenarnya tanpa itu semua pun, aku sudah cukup bahagia dengan hidupku ini. Aku terlalu mencari kekurangan suamiku sehingga aku lupa pada kekuranganku sendiri.
“Jom, tidur,”
Aku senyum.
***
“Mama ,”
“Apa papa?,”
“Stoking papa mana?,”
“Papa carilah. Mama nak bersiap ni. dah lewat ni,”
“Ini yang papa tak suka ni. Suka sangat alih-alihkan tempat simpan barang. Hari ni, simpan kat sini. Esok simpan kat lain. Mana mama simpan?,”
“Papa. Carilah dulu. Cari dengan mata dahlah. Tak payahlah cari pakai mulut,”
“Tengok. Tak ada. Mama cari sekarang,”
Aku berpaling. Memandang wajah suamiku yang sudah masam. Aku tarik drawer almari. Mengambil bungkusan stoking yang baru dibeli. Memang suamiku suka beli sroking.
“Papa ambil yang baru jelah. Bising. Mama nak bersiap pun tak boleh,”rungutku geram.
“Inilah dia. asal tak jumpa keluar yang baru. Asal tak jumpa keluar yang baru,”
“Papa tolong diam boleh tak?,”
“Mama! Mama! Stoking Along mana? Along dah lambat nak pergi sekolah ni. mama ni memanglah. Suka hilangkan stoking Along,”anak sulongku pula menjerit dari biliknya.
“Tengok. Tu anak papalah tu. Papa pergilah tengok kejap. Mama tak boleh bersiaplah macam ni,”
“Mama yang buat masalah kan? Mama sendiri yang settlekan. Berapa kali nak cakap, benda-benda kecil macam tu, simpan satu tempat. Ini, tak ada lain ni,. mesti bercampur dengan pakaian lain,”
Alah! Dah mula membebel pagi-pagi buta macam ni. Geram betul. Tapi, inilah yang aku lalui selama ini. Dan inilah juga rencah-rencah kehidupan yang memberi rasa bahagia padaku. Aku pandang wajah suamiku yang masih terus membebel.
“Mama bahagia sekarang papa,”
Kata-kata itu membuat suamiku terdiam.
“Apa?,”
“Mama bahagia hidup dengan papa,”
Suamiku tersenyum. Melangkah rapat padaku. Memelukku dari belakang sambil mencium pipiku. Bebelannya hilang serta-merta.
“Papa juga,”bisiknya di telingaku.
“Kalau macam tu, pergilah tolong Along cari stoking kejap. Mama nak bersiap cepat ni. nak hantar adik ke nursery lagi,”aku bersuara sambil tersengih. Suamiku memandang geram.
“Psikologi papa ya?,”
“PleaseĆ¢€¦.,”
“Oklah sayang,”
Dan aku tersenyum bahagia apabila sebuah lagi ciuman hinggap ke pipiku sebelum suamiku bergerak keluar.
“Mama!,”
Aku terkedu. Kenapa suara anak dan ayah bersatu memanggilku? Aku berlari keluar dari bilik. Suamiku dan anak sulungku bercekak pinggang memandang ke arahku.
“Kenapa?,”
“Stoking Along dengan papa. Semuanya kat dalam washing machine ni. Mama tak jemur ya?,”marah anak sulungku.
Aku menepuk dahi.
“Mama lupa sayang. Sorry,”
“Itulah. Buat kerja selalu bertangguh. Sekarang, apa dah jadi,”suamiku pula menambah. Sama saja perangai anak dengan ayah. Aku cuma mampu tersengih.

Selasa, 15 Disember 2015

The million thousand Reasons

DIA tengku ke, dia millionare ke, dia lelaki terkacak di dunia sekali pun, ada aku kesah? Huh, janganlah Tok mi ni nak satu-satukan aku dengan anak cucu cicit kenalan dia lagi. Aku rimaslah! Rimas!
Salah ke umur dah nak cecah angka 30 tahun ni kalau tak kahwin? Aku tanya ni, salah ke?
“Salah. Nanti ovari expired!”
Giloss!
Aku menoleh ke belakang, suara siapa lagi kalau bukan suara Tok mi. Macam tahu-tahu aje apa yang ada dalam fikiran aku.
Puan Sri Laila tu Tok mi aku, dialah paling susah aku tak kahwin. Tok yah pun tak cakap apa-apa dia dah pandai nak kondemkan aku dengan manusia-manusia tak ada citarasa tu! Ishh! Rimas!
Tok mi melabuhkan duduk di sebelah aku. Aku menutup buku yang berada di tangan aku dan meletakkan di sisi kiri aku. Wajah aku memang dari pagi tadi dah mencemik. Macam orang tak cukup zat!
Zat apa?
Zat besi kut!
“Please Fia, you need to marry this year! No matter what, apa yang Fia cakap, alasan Fia semua tu, Fia tak suka, dia gemuklah, dia kurus sangat, dia tegap sangat, badan dia macam tak cukup sihat, dia terlalu kacak, dia terlalu romantik, dia terlalu selekeh, dia tak pandai jaga hati Fia.”
Huh! Semua sekali alasan selama 3 tahun berturut-turut Tok mi dah bentangkan depan aku. Tu lah alasan aku bila nak tolak semua calon-calon Tok mi. Esok aku dah kena cipta alasan lain ni. Urmmmm. Kita fikir jap lagi, ya.
“Yang tadi tu pula siapa? Tak habis-habis lagi Tok mi ni nak carikan calon. Fia dah cakap Fia tak nak. Titik!” Aku terus berdiri bangun. Ke meja cermin dan mencapai cekak rambut dan dicekakkan di kepala aku. Nak cekakkan kat Tok mi, mana boleh. Dalam hidup ni, aku hanya ada dia dan Tok yah aje. Walaupun, niat asal kalau geram memang nak cekak-cekakkan aje.
“Dia Sharifah Badriyah. Dia ni kawan arwah mama Fia. Baru setahun dia kembali ke Malaysia. Aunty Riya ada anak lelaki seorang dan anak perempuan dua orang. Anak lelaki dia tu peguam.” Tok mi menceritakan detail tentang tetamu yang datang ke rumah pagi tadi. Aku angguk aje tanda faham.
“Dah tu, apa kena mengena dengan Fia?”
“Fia cubalah berkawan dengan dia, mana tahu yang kali ni sangkut.”
“If I say no?”
“You must to say yes! I already give Aunty Riya your name card number. Mungkin esok dia akan call Fia ajak jumpa and listen to Tok mi, date with him. Cuba untuk masa depan Fia.”
Masa depan? Dulu aku belajar suruh jauh-jauh dia cakap untuk masa depan. Ni aku dah belajar cukup punya jauh, cukup punya tinggi, ingat tak ada lagi nak kena buat, tapi ada juga! Rimas! Sampaikan aku nak sambung Phd dah tak bagi pula. Kata belajar tinggi-tinggi untuk masa depan, ni nak buatlah ni. Tapi di halang.
Apakehel?
So, nak tak nak, memang aku terpaksa berdating dengan anak Riak tu. Urmmm Siapa nama anak Riak tu agaknya?
“Siapa nama anak lelaki Aunty Riak tu Tok mi? Aku menghadap Tok mi. Tok mi membalas senyum senget. Senyuman gatal. Ingat aku gedik-gedik nak ke jumpa lelaki tu?
Oh, please okay, ni hanya sebab Tok mi, not Aunty Riak, not anak kepada Aunty Riak tu.
“Bukan Aunty Riak. Nama dia Sharifah Badriyah. Panggil aje dia Aunty Riya.”
Ampun! Maaf. Terdengar tadi Riak. Rupanya Riya. Maaf, Aunty, Fia tak tahu. Susah benor namanya. Tapi mana tahu orangnya pun riak, kan? Macam anak dia. Aku doa-doalah anak dia riak. Sebab boleh jadikan alasan nanti kalau nak tolak calon yang ni, calon ke berapa agaknya? Nanti suruh Lisa kira. Aku malas nak kira.
“Nama dia Megat.”
Ohh Megat, macam jebat ke? Jebat Shahnaz Ahmad tu, berlakon dengan Nelydia. Urmmm esok dah boleh minta Lisa cipta alasan ni. Tapi kena scan dulu orangnya macam mana.
Lisa, aku ada kerja untuk kau.
****
LISA dah ketawa terbahak-bahak. Huh, bahak-bahak, nanti aku sumbat masuk cicak dalam mulut tu, terui bunyi cicak pula!
“Aku tak ada masa nak kahwin ni semua. Boleh tak kalau tak payah kahwin? Aku suka kut hidup macam ni. Aku tak perlukan lelaki dalam hidup aku.”
Kata-kata aku tu memang betul pun. Ini hidup aku, bukan hidup Tok mi. Aku boleh survive sendiri hidup ni. No need nak kahwin bagai. Bukan aku lesbian, tapi aku hanya tak suka lelaki.
Erk? Salah-salah. Bukan tak suka lelaki, tapi aku tak nak fikir soal lelaki. Sejak bila? Sejak ni…
Sejak aku tersilap kawan dengan suami orang! Huh, naya hidup aku masa tu.
“Kau tak nak ada anak? Kau tu seorang aje tau. Hanya ada Tok mi dan Tok yah. Kau perlukan suami dan anak-anak. Nanti kau dah tua siapa nak jaga kau?” Lisa dah bersuara. Aku dengan senang jawab macam ni aje…
“Apa guna ada anak yatim? Aku boleh pilih mereka untuk hidup bersama aku.”
Nampak? Kacangkan jawapan sakai aku.
“Giloss! Suka hati kau la Fia! Malas nak bercakap dengan kau ni.”
“Malas nak bercakap, nanti kejap lagi datang meja aku bercakap dengan aku juga.” Jeling aku ke arah Lisa. Geram aje dengan bini dan mak orang ni. Tak padah dengan perut dah melayut. Urmmm, Lisa tengah mengandung tu, baru 4 bulan. Masuk kandungan ni dah nak masuk dua orang anaklah.
“Ni mesti duk kutuk perut aku! Dah dah, petang ni kau pergi tengok apartmen yang ni. No rumah 2324. Dia nak ubahsuai reka bentuk dalaman ruang tamu dan dapur dia.” Lisa memberi aku satu fail berwarna kuning cair itu. Aku pun buka fail tersebut dan tengok segala maklumat yang ada.
“Encik Furqan.” Nama lelaki tu termuncul keluar juga dari mulut aku.
Fur….Qan? Apa nama ni? Pelik pula. Nama aku juga yang sedap.
Ilmi Syafia.
Aku tersenyum mengejek. Nama Furqan? Entah mana dapat nama Furqan. Tak pernah dengar. Aku menjelir lidah ke arah fail kuning tu. Seolah-olah macam menjelir lidah dekat tuan punya nama yang pelik. Huh, bukan Encik Furqan tu tahu pun.
Aku gila? Aah kut. Kadang kepala terputus fius ada juga dalam kepala otak ni. Lantaklah. Bila terpandang kad nama Encik Furqan tu, aku teringat pula dekat anak riak yang Tok mi cerita semalam. Anak riak tu nama Megat. Dan dia peguam. Samalah macam Encik Furqan ni, peguam juga.
“Furqan & Co.” Furqan and company. Peguam.
Yang aku tahu peguam ni biasanya pendiam. Tapi pendiam mereka bukannya bodoh, kalau bodoh, buat apa boleh jadi peguam, kan? Pendiam mereka tu sebab berfikir. And satu lagi, peguam ni kalau cakap mesti nak betul aje, nak menang aje, kan? Senang juga ni kalau jumpa Megat. Nanti ada alasan nak beri dekat Tok mi kenapa aku tak ngam dengan anak riak tu.
Tak ngam sebab Megat cakap nak betul aje, aku cakap semua nak bangkang! Huh! Tak payahlah Lisa tolong fikirkan idea, aku dah dapat dah. Patut berterima kasih dekat Encik Furqan ni sebab nampak nama kad dia aje, dah dapat beri aku idea.
“Terima kasih Encik Furqan.” Aku tersenyum senang. Horay!
Rasa aman pula hidup pada pagi ni. Tapi terus jadi jahanam bila tiba petang. Sebab…
“Boleh saya tahu yang encik minta saya ke sini sebab nak buat pengubahsuaian apartmen ni, kan?”
Encik Furqan diam saja. Dia tenung aku dari tadi. Dah kenapa? Gila? Kurang siuman? Kalau nak tahu, dah 20 minit aku duk berdepan dengan Encik Furqan ni tau. Tapi satu patah haram jadah dia tak bercakap. Dia tengok aku aje. Aku pula?
Aku tengok dia jugalah!
“Boleh tahan juga. Cantik, menarik.”
Aku menarik nafas lega. Bersuara juga lelaki ni. Ingat bisu tadi.
Ada ke peguam bisu?
“Encik nak ubah suai agar cantik dan menarik ke? Encik nak ubahsuai yang macam mana? Untuk apartmen encik ni, saya rasa tak banyak nak diubah. Cuma perlu banyak untuk ditambah.” Ujar aku. Aku nak cepat ni tau, tak boleh berlama-lama.
“Saya tak nak ubahsuai apa-apa pun. Sengaja saya suruh awak datang.”
What?! Giloss! Apa kes ni? Aku banyak kerja. Bukan ada appoiment dengan dia ni aje, banyak lagi klien aku nak jumpa!
Aku bangun dan berdiri.
“Awak gila? Tak siuman? Terencat ke apa? Yang saya tahu, saya ke sini sebab nak bantu klien saya untuk pengubahsuaian rumah dia. Tapi saya datang sini, tunggu awak nak bercakap pun ambil masa 20 minit. Saya ingat awak bisu ke, sembelit ke, sebab tahi keras, semalam tak makan sayur. Tapi rupanya awak sengaja suruh saya datang sini? Boleh explain tak kenapa? Saya tak nak bua…”
“Lagi satu, saya suka orang banyak bercakap. Macam awak.”
Aku belum habis membebel, dia dah mencelah. Apa kes ni?! Nak apa ni? Aku tenung lelaki yang sedang duduk tu atas bawah. Kacak? Ya kacak. Tapi tak akan buat aku terpikat pun!
“Saya nak balik. Terima kasih Encik Furqan. Terima kasih banyak-banyak sebab buat saya gila hari ni.” Ujar aku dan nak berlalu pergi.
“Saya Megat. Megat Furqan Bin Megat Ezwan.”
Langkah kaki aku terhenti. Aku terdiam sejenak berdiri membelakangkan lelaki itu. Megat?
“Saya anak lelaki Syarifah Badriyah.”
Ujar lelaki tu lagi. Sah! Dialah Megat yang Tok mi cakap semalam. Dan masa tulah hidup aku kucar-kacir.
****
“SAYA nak jumpa dengan Cik Ilmi Syafia.”
Aku yang terdengar suara lelaki tu, pantas menoleh ke arah meja setiausaha aku. Lelaki? Wajahnya tak jelas, sebab lelaki tu membelakangkan aku.
Aku terus mengambil helaian-helaian yang aku print tadi. Aku mendekati meja Afifah.
“Ya, saya Ilmi Syafia. Kenapa?” Aku terus bersuara dan…
“Awak?” Terkejut beruk aku bila lelaki tu menoleh ke arah aku. Jahanam hidup aku. Nak apa lagi ni?
“Jom, kita keluar lunch.”
Apakebenda ni? Ajak keluar lunch? Aku tak nak. Semalam dah aku cakap dengan Tok mi yang aku tak nak!!!!!!!!
“Awak mesti nak. Tak boleh tak nak.”
Giloss! Ni nak jadi Tok mi dengan Lisa ke? Dah pandai baca fikiran aku.
“Siapa awak nak paksa-paksa saya?” Tanya aku berani. Aku memang berani pun.
“Bakal teman lelaki, bakal tunang, atau bakal suami?” Selamba dia jawab macam tu sambil berpeluk tubuh.
“Siapa yang nak jadi bakal teman wanita awak? Bakal tunang awak, dan bakal isteri awak?” Aku masih membalas. Ambil kau!
Dia tersenyum senget. Menampakkan lesung pipit dia di pipi kiri. Handsome! Aku tak sengaja terpuji pula. Aishhh, tarik balik!
“Lupa pula nak beritahu… Apa yang saya nak, saya pasti akan dapatkan. Apa yang saya cakap, saya pasti akan jadikan ianya realiti.”
Mulut aku melopong. Nak masuk lalat pun masuklah, biar mati sebab tertelan lalat banyak, daripada kena kahwin dengan manusia depan aku ni. Kalau biawak ada pun, aku beri aje biawak masuk dalam mulut aku, biar cepat sikit putus nyawa!
Afifah dah tengok aku pelik. Aku hanya angkat bahu saja buat tak tahu. Aku nak aje menyumpah seranah lelaki ni.
“Saya tunggu awak dekat bawah. Kereta mini cooper lama berwarna merah. Kalau 10 minit awak tak turun. Esok juga saya minta Tok mi bersedia untuk nikahkan kita.”
Aku lagi melopong! Dengar tak apa dia cakap? Dengar tak?!
Aku tengok aje lelaki tu keluar dari pejabat aku ni. Keluar dengan gaya bersahaja. Tanpa senyum, tanpa muka ketat, tanpa muka masam. Muka macam orang tak ada perasaan.
Aku nak turun ke tak ni?!
****
AKU pandang dia, dia pandang aku. Bila dia pandang aku, aku tak pandang dia lagi. Aku buat-buat tengok meja makan, buat-buat tengok tangan aku. Aku buat-buat tengok kuku jari tangan aku. Aku buat-buat tak tahu.
“Saya dah suka kat awak.”
“Kenapa awak suka saya?”
“Sebab hati saya bergetar hebat bila dengar nama awak. Tu baru dengar nama aje. Bila tengok rupa awak semalam…”
Aku merenung dia tajam. Aku menunggu kata-kata dia yang seterusnya. Bila dia tengok muka aku semalam kenapa?
Ecehh! Konon bergetar hebat. Nak cakap yang dengar nama aku je hati dia dah nak meletop. Nak jatuh cinta. Mesti lepas ni dia cakap yang bila nampak aje rupa aku semalam, hati dia dah cair jadi madu. Nak jilat-jilat! Macam tu?!
Poyo! Giloss! Ayat manis! Diabetes!
“Bila nampak rupa awak semalam, tak adalah cantik sangat. Biasa aje.”
Siut! Bedebah betul! Aku ingat dia nak puji aku cantik macam Datuk Siti Nurhaliza ke, tapi hampeh!
“Tak adalah rupa macam Datuk Siti Nurhaliza pun. Rupa awak ni macam Saloma, bini P.Ramlee.”
Rahang aku dah nak jatuh ke bawah. Apa dekat muka aku ni ada beritahu ke apa yang aku sedang fikir? Dia ni tahu aje baca fikiran aku. Ni ada ambil berkat dari Tok mi dengan Lisa ke?
Kejap lagi memang kena soal siasat Lisa dan Tok mi ni!
“Jawapan awak jangan nak sakai sangat. Okey, saya nak beritahu awak…” Aku terhenti dari berkata.
Nak panggil dia apa? Megat ke Furqan? Tapi aku lebih suka nama pelik tu. Furqan.
“Panggil saya Qan.”
Aku tengok kiri kanan. Mana tahu dia ada bawa hantu raya dia sekali dekat sini. Tahu aje apa aku fikir.
“Okey, Qan. Ya, Qan. Saya tak nak lagi jumpa awak, berkenal-kenalan dengan awak. Tak nak. Saya dah beritahu dengan Tok mi saya, yang saya tak nak ada apa-apa lagi dengan awak. Walaupun, kita baru jumpa 2 kali. Termasuk sekarang. Sekali je saya jumpa awak, dah buat saya ni meluat. Tak nak. Faham?”
“Kenapa? Salah ke kalau kita bersama?” Aku dah angkat kening bila Furqan tanya aku soalan sengal tu. Salah ke kalau kita bersama?
“Ya, memang salah. Sebab saya tak suka awak. Bukan awak aje calon nenek yang saya tolak. Dah berpuluh-puluh calon saya tolak. Termasuk awak. Tolong saya tak nak.”
“Macam saya cakap, saya akan dapatkan apa yang saya nak. Apa saya cakap, saya akan jadikannya realiti.” Wajahnya tak angkuh. Tapi kata-kata dia tu macam ajet menjadi aje.
“Tolong. Saya tak nak ada apa-apa dengan awak.” Rayu aku. Dah malas dah sebenarnya. Nak marah, nak jerit, aishh malas aku!
“Kita beri masa untuk hubungan kita.”
Ni aku pelik. Aku dah kata aku tak nak. Apa pasal dia nak beri masa pula ni? Aku tak nak juga masa dia.
“Saya tak nak. Awak berilah saya masa 10 tahun sekali pun, 20 tahun pun, saya tak nak.” Aku dah tak tahan. Tak faham ke aku cakap aku tak nak?
Dia tersenyum sinis. “Saya beri masa sehari untuk awak fikirkan. Dan sebulan untuk baikkan hubungan kita.”
Giloss!
“Saya dah suka awak Ilmi Syafia. Saya tak pernah seangkuh ni bila saya berkata demikian. Saya tak pernah juga segila ni bila dah sukakan seseorang. Ini kali pertama saya turut kata-kata ibu saya.”
Aku terpana.
Aku terkulai.
Aku terpanasaran!
“Aunty Riak tu belum tentu sukakan saya.”
Aku tengok Furqan dah gelak terbahak-bahak depan aku ni. Sampai nak menangis aku tengoknya. Keluar air mata bagai. Dah kenapa?
“Aunty Riya. Not Aunty Riak. Kelakar awak ni. Serius, you’re so funny to me.”
Kelakarlah sangat. Siapa suruh nama ibu dia macam nak sebut perkataan riak? Nasib baik dia tak marah. Mana tahu tiba-tiba dia pelangkung aku dengan pasu bunga atas meja ni ke? Tapi bagus juga, ada alasan nak tolak mamat ni jadi calon Tok mi.
Tak habis-habis 3 tahun ni, hidup aku hanya cari alasan nak tolak semua calon-calon lelaki Tok mi ni. Dan kenapa nak tolak yang ni susah sikit? Lain macam. Urmmm.
****
SEMUA setuju minta aku berikan masa untuk hubungan aku dengan si Furqan tu. Semua ni gila ke?
“Berikan masa. Apa kau nak takut? Dia bukan suami orang kut. Dah cukuplah tu, dah bertahun berlalu, apa lagi kau nak fikirkan lagi.” Lisa nasihatkan aku. Lisa ni, aku tak nak nasihat dia pun, dia tetap nasihatkan aku. Inilah gunanya kawan, walaupun, dia tahu aku tak pernah dengar nasihat dia, dia tetap nasihatkan aku.
“Masalahnya, hati aku dah terkatup rapat. Aku tak boleh suka dia. Bukan dia aje, semua lelaki. Aku tak nak.”
Ya, hati aku ni macam dah keras. Aku bukan takut dikecewakan, aku rasa kalau aku kecewa pun aku dah tak kisah. Tapi tolonglah, aku dah tak nak ada kaitan dengan lelaki. Kecuali Tok yah aje.
“Kau sebenarnya takut. Kau trauma lagi ni.”
Erk? Kan, aku dah kata, Lisa ni bela hantu. Tahu aje apa dalam kepala aku ni.
“Bukan macam tu. Kau fikirlah Lisa. Aku baru kenal dia. Dua hari aje. Dua hari ni pun tak sampai 24 jam aku bersemuka dengan dia. Aku tak tahu apa-apa tentang dia. Dia minta berikan aku masa sehari untuk fikirkan semula. Dan sebulan untuk baikkan hubungan aku dengan dia. Masalahnya, aku bukan ada gaduh pun dengan dia, nak baikkan apa pula? Baik dia tolong baikkan hati aku ni, yang dah sakit sangat sebab dia!”
Panjang lebar aku membebel.
“Dia tengah nak cuba baikkan hati kau la ni. Kau tu yang tak nak. Tolong Fia, cuba.” Lisa seperti berharap.
“Lagipun, aku suka tengok dia. Relax aje Furqan tu. Kacak pun kacak. Apa lagi kau nak? Kau nak tolak dia sebab dia terlebih kacak ke? Alasan tu kau dah guna 3 bulan lepas.” Ujar Lisa lagi. Aku termangu.
Cepat Fia cari alasan lain. Cari alasan lain.
“Huh, kereta dia tu kereta buruk! Sakai betul. Mini cooper lama. Kereta Mr Bean tu. Uishh! Aku tak sukalah lelaki guna kereta tu.” Alasan ni boleh jadi tak?
“Peguam kut. Aku rasa banyak lagi dia punya kereta. Besar-besar semua.” Lisa nak menangkan Furqan!
“Amboi, aku yang naik kereta dia tadi tu kau tak fikir. Macam nak keluar dari kereta tu tau. Aku rasa macam aku pula nak lari pecut! Apa punya kereta entah, lembab gila!”
Aku asyik membebel. Iyalah, kereta si Furqan tu kereta besi lama. Ish, style like orang kaya. Kereta pula tu macam besi nak riuk dah!
“Cinta tu, kau beri beribu alasan pun, kalau dah nak hadir cinta tetap hadir. Mungkin sekarang kau beri beribu alasan, tapi nanti kerana beribu alasan tu mungkin akan ada satu alasan yang kau cintakan dia. Bukan satu je, boleh jadi, beribu alasan tu buat kau sukakan dia.”
Lisa dah kaitkan tentang cinta. Cukuplah selama ni aku hidup hanya bekerja keras untuk syarikat aku ni. Ilmi Design & Interior Decorations. Ilmi segalanya. Lepas kecewa, aku habiskan masa dengan Ilmi. Bangun pagi Ilmi, makan Ilmi, tidur pun mimpikan Ilmi. Ya, syarikat aku ni yang banyak buat aku lupakan masalah aku. Pada aku, biarlah masalah syarikat yang bermain dalam kepala, jangan masalah lelaki yang terselit dalam otak ni. Buat haru aje hidup!
Tapi satu alasan dalam beribu alasan yang aku berikan untuk menolak cinta Furqan. Hanya ada satu buat aku sedar.
Mata dia sepet! Tu buat aku macam suka pula tengok dia.
Erk? Hahahah dalam banyak-banyak alasan. Tu je boleh jadi alasan aku suka dekat Furqan? Giloss!
Betul ke kata Lisa, bila aku selalu cari beribu alasan untuk tolak Furqan, mungkin akan ada satu alasan yang buat aku terperangkap dengan Furqan? Kalau tak satu alasan, mungkin alasan yang beribu-ribu tu akan buat aku terikat dengan peguam tu. Tapi alasan apa? Nak cintakan orang tak perlu ada alasan. Tapi kenapa Lisa cakap lain?
****
AKU melihat kereta yang berada di dalam perkarangan banglo rumah Tok yah. Kereta siapa? BMW X6. Aku memakirkan kereta aku di sebelah kereta tersebut. Aku mengambil barang-barang kerja dari belakang kereta dan terus menutup pintu kereta aku.
Ni calon baru ke? Aku dah cakap dengan Tok mi semalam, yang aku tak nak pun terima Megat Furqan tu. Tok mi pun diam aje. Huh, ni mungkin Tok mi dah carilah tu calon baru.
Aku terus masuk ke dalam. “Assalamualaikum.” Salam aku berikan.
“Waalaikumussalam.” Jawab semua orang. Aku tak toleh pun muka mereka semua. Aku letakkan kasut tumit tinggi aku tu di dalam almari kasut. Sudah tu, baru aku pandang semua.
“Dah balik pun. Malam balik ni, sibuk sangat ke?” Tok yah dekati aku. Dia memaut bahu aku dan mengajak aku mengikutinya ke arah tetamu yang datang ke rumah tu.
Aku tengok satu persatu. Pertama, seorang lelaki dalam lingkungan 50-an. Kedua, huh, ni aku dah kenal sangat. Aunty Riak!!!! Jadinya, ini keluarga Megat Furqan! Ohhh no! Aku berharap Tok mi cari calon baru aje, daripada Furqan ni. Sebab dengan Furqan, aku dah beri macam-macam alasan pun, tetap juga susah nak keluar dari perangkap lelaki ni!
“Hai Fia.” Tegur Aunty Riak kepada aku. Ishhh, asal susah sangat aku nak cuba hilangkan menyebut perkataan riak ni?
Nak tak nak kena layan juga. Tapi mana Furqan? Tak ada pun.
Ish! Buat apa aku cari lelaki tu? Baguslah dia tak ada.
“Hai aunty. Dah lama sampai?” Aku cuba beramah.
Aku menunduk mencium tangan Aunty Riya. Selepas itu, aku mencium pula tangan suaminya yang di sebelah. Aku meletakkan beg dan barang kerja aku bersebelahan dengan Tok mi. Aku melabuhkan duduk sebelah Tok mi.
“Lama juga. Sempat tadi makan malam dekat sini.” Jawab Aunty Riya. Aku mengangguk.
“Suka aunty dapat jumpa dengan Fia. Baru ni dapat jumpa dengan Fia.” Ujar Aunty Riya teruja. Jumpa aku pun teruja ke? Aku bukannya Ziana Zain pun.
Baik aku blah dulu. Dahlah penat. Ni pun bertegur sapa pun dah kira baik. Bukan sombong, tapi aku tak nak beri orang harapan. Satu hari untuk berfikir dah berlalu. Satu hari masa yang diberikan Furqan semalam dah habis. Aku buat tak tahu saja. Biarlah. Aku memang tak nak ada apa-apa dengan dia pun.
“Saya dah bincang dengan famili kita.”
Aku rasa macam pernah dengar suara ni. Aku terus menoleh ke arah pintu rumah banglo Tok yah. Furqan? Ingat tak ada. Ada rupanya. Pantang betul nama kena sebut. Walaupun, sebut dalam hati, ada aje dia muncul.
Furqan menghampiri kami semua. Aku yang dah angkat punggung nak naik atas, terus tak jadi. Terus aje duduk semula. Furqan melabuhkan duduk di sebelah ibunya. Dia kini berhadapan dengan aku.
“Saya beri awak masa sehari untuk fikirkan tentang kita.”
Aku angguk saja. Betullah, dia memang ada beri aku masa sehari untuk berfikir dan sebulan untuk membaikkan hubungan aku dengan dia. Aku melihat satu persatu manusia yang berada di ruang tamu banglo ni. Dari ibu Furqan sehinggalah ke wajah Tok mi. Dan akhir sekali terhenti di wajah Furqan yang bermata sepet tu.
“Jadinya, seharinya dah habis. Hari ni saya datang nak maklumkan pada keluarga awak dan keluarga saya, yang kita akan cuba untuk memahami antara satu sama lain. Saya nak hubungan kita lebih serius.” Dengan tenang Furqan berkata begitu. Aku?
Aku mana boleh tenang lepas dengar semuanya. Rasa nak jerit. Tapi memalukan nanti. Rasa nak pijak-pijak aje Furqan waktu ni. ISHHHHHHH!
“Tapi…. Tapi saya tak beri apa-apa kata persetujuan.” Jawab aku tenang. Dalam hati tak tenang doh!
“Diam tanda setuju. Itu yang saya belajar. Diam tu tandanya awak setuju.” Mudahnya Furqan cakap. Gila ke? Huh, mereka semua ni kenapa diam? Tengah sembelit ke?
“Baguslah. Tok mi tahu yang Megat memang untuk Fia.” Huh baru Tok mi nak bersuara. Ingat tadi berak!
Tapi apa yang Tok mi cakap aku tak boleh nak setuju. Cuma, asal kepala dalam rumah ni angguk aje apa Tok mi kata tadi? Aku pasti, Tok yah seorang aje yang tak setuju dengan kata-kata Tok mi. Tok yah hanya akan ikut kata aku aje. Aku menoleh ke arah Tok yah.
Allah! Tok yah pun angguk sekali!
“Betul kata awak Ila. Saya pun rasa yang Megat sesuai untuk cucu kita.” Lagi Tok yah cakap macam tu. Yang aku? Nak pitam dah!
“Saya dah pilih awak Fia. Dan saya juga harap dalam masa terdekat ni, saya dapat buat awak memilih saya juga.”
Bila masa aku nak kau pilih aku? Aku tak suruh pun kau pilih aku. Aku pun tak nak pilih kau!
“Kenapa saya perlu pilih awak?” Tanya aku. Merenung tepat ke dalam anak mata Furqan.
“Sebab hati saya dah pilih awak sejak pertama kali dengar nama awak.”
Poyo! Jangan nak gula sangat! Ingat aku terpikat?!
****
KEJADIAN yang aku tak boleh terima kelmarin sudah 3 hari berlalu. Tiga hari juga aku terseksa. Rasanya lebih seksa dari aku kena hempuk dengan isteri bekas kekasih aku dulu! Kalau diminta suruh pilih antara bersama dengan Furqan atau kena hempuk dengan isteri bekas kekasih aku tu, aku lebih rela kena hempuk kut!
Aku memang rasa sengsara sangat sejak tu. Sebab apa? Sebab…
“Hello. Ada apa ni call pagi-pagi?”
“Good morning. Dah bangun belum ni?”
Aku rasa nak hempuk! Mana dia dapat nombor aku ni?! Ni tak lain tak bukan..
“Semalam sebelum balik, Megat minta nombor telefon Fia. Tok mi dah bagi. Nanti kamu boleh sembang panjang-panjang dengan dia.”
Aik? Sesuka nak bagi nombor aku. Nasiblah Tok mi ni aku cinta separuh mati tau! Aku diamkan aje. Ni lagi satu, bakpe aku nak sembang dengan mamat yang konon cintakan aku sejak dengar nama aku tu? Ada apa dengan nama Ilmi Syafia? Rasanya sebelum ni tak ada pun calon yang terpikat kat aku segila macam Furqan tu terpikat. Ya, ya aje ni sejak dengar nama dah terpikat! Nampak benor nipunya!
“Nak sembang apa pula ni? Rimaslah! Fia banyak kerja ni.” Jawab aku malas. Memang tadi aku balik rumah bawa kerja bertimbun pun. Nak settlekan sebelum aku kena ke Kedah untuk projek baru.
“Sembanglah nanti nak buat kenduri kahwin macam mana, nak berapa ribu hantaran. Nak baju warna apa, nak buat majlis resepsi dekat hotel berapa bintang, lagi sembanglah nak berapa orang anak.”
Aku yang dekat dalam bilik dah melopong. Aku belum kata setuju lagi tau nak kawan dengan si Furqan tu. Ni Tok mi dah cakap macam tu? Siap nak berapa orang anak?
Aku pun turut jawab pertanyaan Tok mi yang berada dekat luar pintu bilik aku ni. Walaupun, pintu bertutup, aku tahu Tok mi ada tercegat dekat depan pintu tu dengan setepek putih macam pontianak bedak sejuk dekat muka. Bersama baju kepak kelawarnya!
“Buat kenduri dekat siam. Hantaran telekung dan senaskah al-Quran. Nak baju warna hitam. Nak buat majlis resepsi dekat motel. Cukup ada dua orang anak saja. Anak tekak Fia satu, anak tekak Furqan satu.” Laung aku dari dalam.
Dan…
Bummmm!
Ya Allah, ni macam filem seram yang terhangat sekarang ni, cerita pelakonnya Nabila Huda dan Syamsul Yusof tu. Apa tu? Huh! Munafik! Serupalah macam filem seram tu. Tok mi dah tolak pintu bilik aku berdentum macam kena bom! Dengan rambut dia serba putih, muka pun putih dengan bedak sejuk. Huh! Muka Tok mi pun dah semacam je tu.
“Itu macam nak nikah lari aje!” Marah Tok mi sambil bercekak pinggang.
“Okey lah tu. Jimat bajet.” Aku jawab sambil menunduk tengok fail kerja.
Ulang cerita pasal Furqan call pagi buta tu.
“Dah tentulah dah bangun. Dah tu siapa jawab panggilan awak ni?” Jawab aku malas. Dah mamai ni. 6 pagi dia telefon ni buat apa? Nak buat qiamulai ke?
“Baguslah dah bangun. Nak ucap selamat pagi aje dekat bakal isteri ni.”
Buerkkk Aku rasa dengan gigi-gigi sekali nak tanggal bila muntah ni!
“Bila masa saya kata nak jadi bakal isteri awak?”
“Semalam.”
“Mana ada. Saya diam aje.”
“Diam tu tanda setujulah sayang.”
Sayang..sayang.. Nanti melayang! Dah melayang, memang aku tak akan terbayang-bayang! Piraahh!
“Saya tak rasa saya akan jadi bakal isteri awak.”
Memang betul pun, aku tak rasa aku akan bakal isteri dia. Isteri tu pun lagi tak mungkin! Macam ni minta Tok mi aje kahwin dengan Furqan! Ni rasa berdegup dup dap dup dap tak ada pun. Rasa mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang pun tak ada rasa. Jadinya, dia memang bukan jodoh akulah tu.
Aku tidur pukul 2 pagi pun, tak cukup tidur, tetap juga rasa cukup tidur. Tak perlu nak bercinta dengan dia bagai, aku dah bahagia hidup macam ni.
“Tapi saya rasa… Dengan hanya dengar nama awak, dah buat saya tak sabar untuk nantikan hari esok. Itu belum tengok lagi muka awak. Bila dah tengok muka awak. Mimpi saya pun hanya milik awak seorang tau.”
Aku nak tanya, dia betul ke ni lawyer? Atau dia ni anak ikan mak datin dekat luar sana? Manisnya mulut bak gula pasir nak buat air kopi dan teh!
“Saya memang lawyer. Tak semestinya lawyer tak boleh berkata-kata romantik macam ni.”
Aku cakap dalam hati ke atau terkeluar cakap dengan dia? Rasanya aku cakap dalam hati. Pasaipa dia boleh jawab soalan dalam hati dengan tepat ni?
“Saya nak tidur!” Jawab aku geram. Betullah. Aku nak tidur. Kejap lagi nak jumpa klien pukul 9.
“Ni dah 6:30 ni. Solat subuh dulu, ya. Saya akan doakan yang hati awak terbuka juga untuk saya nanti.”
Aku terus matikan panggilan tu. Kenapa nak doa bagai ni? Macam mana kalau Allah makbulkan yang aku akan jadi milik dia? Ya Allah, kenapa mesti dia?
Aku mengucap panjang. Tak boleh cakap macam tu dekat Allah. Mungkin ni ujian yang aku kena tempuh. Ya, aku kena tempuh ujian ni, tempuh ujian supaya aku dapat jauh dari Megat Furqan tu. Sukar betul ujian Allah beri kali ni. Susah… susah…
****
AKU melangkahkan kaki aku untuk ke kereta aku. Selesai dah berjumpa dengan bos besar projek dekat Kedah tu. Aku dan Lisa terus memboloskan diri ke dalam kereta.
“Dia suka kau. Cuba kau buka hati kau ni sikit.”
Aku menoleh sekilas ke arah Lisa. Sekilas aje, kalau tenung dia lama-lama karang, kena cium dengan tiang lampu pula. Aku tengah memandu ni kut! Walaupun, rasa nak cekik aje Lisa waktu ni, tapi aku tak nak mati lagi. Ilmi nanti siapa nak jaga?
Aku diam. Aku tak nak bahas soal ni lagi. Tak lama lagi aku dah nak ke Kedah. Ada projek untuk ubahsuai bilik resort. Sambil tu, mungkin aku boleh fikir. Dah dua minggu juga telinga aku ni dengar suara Furqan. Walaupun sibuk, Furqan tak pernah miss untuk telefon aku. Aku mengaku aku dapat biasakan diri dengan dia sekarang. Walaupun, bila bercakap dengan dia, aku rasa macam nak kena kencing manis, sikit-sikit dia nak korek perasaan aku. Sikit-sikit nak cakap pasal hati dan perasaan dia pada aku.
“Jangan cuba untuk buang perasaan yang semakin mendatang dalam hati kau. Aku tahu, kau diam kali ni sebab kau dah tak ada alasan nak beri untuk tolak Furqan, kan? Selalu kau asyik menjawab aje apa kata aku. Ni, tak ada jawab apa. Kau diam aje.”
Macam terkena batang hidung sendiri, bila Lisa berkata macam tu. Betul ke? Aku dah tak ada alasan lagi nak lari dari Furqan?
“Dia lelaki baik. Sejak pertama kali aku jumpa dia, aku tahu dia baik. Jarang nak jumpa lelaki baik sekarang. Nak kata dia nak harta kau? Dia tu pun banyak harta. Berkepuk-kepuk harta dia. Ayah dia tu Dato Megat Ezwan kut. Berapa banyak harta dia ada? Furqan pun ada syarikat guaman sendiri. Dia tak mukin macam bekas kekasih tak guna kau tu, yang hanya nak harta kau.”
Aku memandu macam mayat hidup. Pandang depan saja. Nasib baiklah ni lebuh raya, tak ada belok-belok, simpang-siur, nasib tak ada.
Ya, nak lelaki yang baik sekarang susah. Zaman pun sekarang makin maju. Otak manusia pun makin maju. Maju nak mempermainkan gadis seperti aku! Aku mengaku aku kecewa dulu, terlalu kecewa. Hidup aku hanya ada Fuaz aje.
Arwah papa dan mama meninggal masa umur aku 10 tahun. Sejak tu Tok mi dan Tok yah jaga aku. Tok mi dan Tok yah pun hanya ada anak seorang aje, arwah papa aje anak mereka. Dan cucu mereka pun hanya aku saja. Aku mengaku, dari sekolah aku tinggal di asrama. Habis aje sekolah, aku sambung belajar di luar negera, dan bertemu dengan Fuaz. Itu saat bahagia, semua rasa sunyi hilang bila dia ada bersama. Rupanya, dia tu suami orang. Selama 4 tahun aku berkawan dengan suami orang. Memang patut bila balik Malaysia, aku kena hempuk!
Tok yah dan Tok mi nak saman mereka, tapi aku larang. Aku tak nak. Aku malu. Kalau kes ni tersebar, mana aku nak letak muka? Bini Fuaz tu pun macam sasau aje. Macam orang gila! Aku tak tahu k, yang aku kawan dengan suami orang. Sumpah tak tahu! Kalau tahu, memang dah lama aku baling tikus dekat Fuaz tu!
Ya, Furqan lelaki yang baik setakat ni. Furqan lelaki yang penyabar dengan aku. Dia selalu bertanya khabar aku, walaupun hanya seminit aje aku boleh bercakap dengan dia dalam talian. Dia selalu ke opis aku, ajak aku keluar makan. Kadang aku tolak, sebab aku sibuk. Tapi Furqan tak kisah. Furqan terus keluar. Aku terasa hati juga, takut dia tak dapat tahan dengan perangai aku ni. Aku takut juga dia merajuk.
Erk? Kau dah kenapa Syafia oii, dah fikirkan hati Furqan sekarang ni pula?
Tak lama lepas tu, dia datang lagi. Dia bungkus makan untuk aku. Laaaa, ingat merajuk, rupanya tak.
“Tak cukup lagi ke Furqan ambil berat tentang diri kau? Bila dia datang opis, kau tak ada, dia tanya kat aku yang kau dah makan belum.” Aku mendengar lagi Lisa membebel. Rasa lama pula ni nak sampai opis aku bila dah dengar Lisa membebel panjang.
Ya, dia bukan saja ambil berat pasal aku. Dia ada juga kadang singgah rumah Tok mi. Saja aje nak datang ziarah. Walaupun, masa tu aku tak ada. Dia hormat orang tua juga. Pandai dia layan Tok mi dan Tok yah.
Aku mengaku, dalam beberapa minggu ni, aku dah terbiasa adanya Furqan dalam hidup aku.
****
Maaf, saya tak dpt nk call awk. Saya ada kes tgh hari ni. – Megat Furqan
Aku membaca pesanan whatsapp yang diterima dari Furqan. Automatik aku tersenyum. Terfikir juga, kenapa dia tak ada call pagi ni. Pagi tadi masa subuh, dia ada hubungi kejap. Dan selalu, dalam jam 10 atau 11 pagi, mesti Furqan akan hubungi dia, saja, dia akan tanya pasal kerja aku, tak pun kita orang akan berbual pasal kerja dia. Tapi hari ni tak ada. Hanya dapat whatsapp dari dia aje.
“Asyik senyum aje bos ni. Saya sukalah tengok bos sekarang. Macam berseri-seri aje.”
Aku terus mengangkatkan wajah aku. Afifah sudah pun berdiri tegak bersama fail di depan meja kerja aku ni. Tak perasan. “Tak ketuk pintu ke?”
“Naik tercabut dah tangan saya ni ketuk pintu. Saya masuklah, ingat apa-apa jadi dekat bos, rupanya masuk aje, bos tengah tersenyum-senyum.”
Ya ke? Aku tersenyum-senyum? Apa hal nak tersenyum-senyum pula ni? Aishhh! Ni dah parah dah!
“Ni fail yang bos kena semak. Saya keluar dulu.” Afifah meletakkan beberapa fail di atas meja aku. Dia kemudian, meminta diri untuk keluar.
Qan! Awak dah buat saya hilang separuh dari diri saya!!!
Tiba-tiba telefon aku berbunyi. Aku melihat nama si pemanggil. Furqan?
“Hello.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummusssssssalammmmm.” Huh, ambil ni. Sengaja nak kenakan aku kan. Panjang aku jawab salam.
“Alhamdulillah. Sedap saya mendengarnya.” Ciss! Sengaja!
“Kata tadi sibuk, ada kes. Tak boleh nak call. Macam dia aje yang sibuk, kita tak sibuk!” Jawab aku. Iyalah, tadi kata sibuk, ni boleh pula call orang.
Aku terdengar suara Furqan ketawa di sana.
“Marah ya, saya tak call awak. Kenapa? Rindu dah ke?”
Bila masa entah rindu. Tak akan punya!
“Aik, diam aje. Ingat nak cakap dengan kita yang dia rindu kita. Saya call awak ni sebab rindu kat awak juga. Lagi 5 minit saya dah kena masuk dalam ni. Ada masa lagi nak rindu-rindu dengan awak.”
Lagi 5 minit? Sempat dia hubungi aku tu! Ishh apa lah.
“Tak payahlah nak rindu bagai, nak call bagai. Baik awak siap bersedia nak menang kes untuk hari ni. Karang dah call saya, silap-silap, boleh kalah pula kes awak hari ni. 5 minit tu ada apalah sangat. Pejam celik 10 kali pun dah habis 5 minit!”
Betullah, 5 minit aje pun nak call aku. Tadi masa ada lebih masa, tak nak pula call.
“Pada saya, setiap minit tu berharga. Walaupun, seminit, asal saya dapat dengar suara awak dah cukup. Ni saya call awak sebab nak dengar suara awak. Suara awak ni semangat saya tau. Kalau saya menang kes ni, awak kena kahwin dengan saya bulan depan juga. Macam mana?”
Rasa tercekik tulang ikan pula, walaupun, aku tak makan ikan sekarang ni. Apa kes pula ni nak kahwin-kahwin? Tapi, dengarnya setakat ni Furqan salah seorang peguam yang terbaik. Jarang sekali dia kalah dalam setiap kes, bukan jaranglah, tapi dengarnya memang tak ada yang kalah!
“Tak nak saya. Saya tak ada deal apa-apa dengan awak pun. Awak pandai-pandai buat taruhan macam tu. Tak nak saya.”
“Fia, saya dah nak masuk ke dalam ni. Take care okay. Makan, jangan tak makan nanti. See you. Bye.”
Tutt tutt tutt.
Belum sempat aku jawab apa-apa, Furqan dah matikan panggilan telefon.
“Amboi, ada orang tu dapat call setiap saat, setiap minit, setiap jam. Cemburulah kita.” Lisa terus saja melabuhkan duduknya di kerusi berhadapan aku.
“Bohong sangatlah setiap saat tu. Nak berak pun makan masa berminit najis nak keluar.”
“Tu kalau sembelit. Kalau cirit-birit, cepat aje keluar.”
Aku menjeling tajam ke arah Lisa. Ada aje nak jawab.
“Aku suka tengok perubahan kau sekarang. Kau nampak lainlah. Nampak ceria.” Lisa bersuara sambil menekan-nekan pen di tangannya.
“Selama ni aku tak ceria ke?” Aku rasa aku sama aje. Ceria aje. Okey aje. Kenapa? Ada beza ke hari ni?
“Bukan tak ceria. Kau okey aje dulu. Tapi sejak kau berkawan dengan Furqan, wajah kau ni ada serilah. Dulu manjang kau dengan kerja aje, tapi sekarang, kau ada masa juga nak keluar dengan Furqan.”
“Perubahan yang baik. Tak elok asyik fikir kerja aje. Umur kau dah meningkat. Tak nak ada keluarga ke? Aku harap, dia memang jodoh kau. Biar jodoh lambat sampai, asalkan ada jodoh. Asalkan jodoh berkekalan. Teruskan perubahan ni. Aku nak kau happy.” Ujar Lisa lagi.
“Aku mengaku. Dia lelaki yang paling lama bertahan. Dah lebih dari seminggu dah aku dengan dia. Aku mengaku, aku dah mula terbiasa dengan adanya dia. Cuma aku takut….”
“Takut apa ni?”
“Macam mana kalau dia tinggalkan aku? Mungkin apa yang dia buat ni semua hanya nak tarik perhatian aku. Lepas dia dah buat aku jatuh cinta dengan dia, dia akan pergi macam tu aje. Macam mana?”
Ya, tu yang aku takut.
“Aku percaya kali ni, yang Furqan bukan macam tu. Cuba kau uji dia. Atau aku rasa kau yang perlu diuji.”
“Kenapa pula aku kena uji diri aku pula? Patutnya aku uji dia.”
“Yalah, sebab, kau ni sebenarnya dah jatuh cinta dengan Furqan, tapi kau menindakkannya. Kalau kau uji Furqan, kompem! Aku pasti, dia cemburu. Kalau uji melalui jarak pula, pasti dia yang rindu!”
“Cuba kau beri masa untuk diri kau. Tenangkan diri kau, buang kisah silam. Cuba fikirkan masa depan.”
“Minggu depan aku akan ke Kedah, mungkin untuk kenal cinta, aku perlu ruang. Aku perlu rasa, betul ke yang hati aku sekarang dah ada dia.”
“Good, take your time. Aku harap kau balik nanti dapat buat keputusan yang betul. Biasanya, kita yang kena uji lelaki nak tahu dia cintakan kita ke tidak, tapi kes kau ni, kau yang kena uji diri kau. Nak sedarkan diri kau yang kau sebenarnya dah memang jatuh cinta.” Betul kata Lisa, aku perlu uji diri aku sendiri.
Aku memandang pelik satu nota yang diselitkan di cermin kereta aku. Aku menarik nota yang berwarna kuning tu.
Saya tak pernah jatuh cinta sedalam ni,
Bukan sebab saya tk pernah bercinta sebelum ni,
Tapi sebab saya dah lali dengan cinta. Sehinggalah…
Saya jumpa awak Ilmi Syafia.
Hati saya sendiri berkata mungkin memang awak jodoh saya,
Kali pertama dengar nama awak, dah buat saya berfikir, Ya, memang awak.
Megat Furqan
Bila masa pula lelaki ni selitkan nota dekat kereta aku? Aku simpan nota tu ke dalam beg tangan. Bibir ni asyik nak tersenyum aje. Betul ke ni cinta? Huhh! Macam nak gila dah ni! Diabetes! Tolong! Manis sangat dah ni! Gula banyak sangat!
Aku masuk kereta. Mesti kejap lagi, malam nanti Furqan ada telefon aku. Mesti punya. Ya, aku tunggu.
Erk?! Gila! Aku dah kena serang penyakit cinta ke?! Siap nak tunggu panggilan dari Furqan ni? OHH NO!
****
MALAM ni kami keluar makan malam bersama. Furqan kata rindu nak tatap muka. Ish, ya ya aje rindu!
“Nota tadi tu saya letak dekat kereta awak, masa saya lalu depan syarikat awak. Kalau boleh, setiap saat saya tak nak awak lupakan saya.”
Ohh, patutlah. Lalu depan syarikat aku, tu sempat selitkan nota. Kalau aku? Belum tentu nak buat macam tu. Ya, Furqan lelaki yang paling lama setakat ni calon yang Tok mi kenalkan. Kalau calon sebelum ni, semuanya dah lari sebab tak tahan dengan perangai aku yang terlebih degil! Lagipun sengaja aku degil dan keras kepala, supaya depa semua tak suka duk nak tunggu aku lama-lama!
Dua tiga hari aje dah tak ada lagi nak datang. Senyap terus! Tahulah aku yang mereka semua dah mengalah. Tapi bila dengan Furqan, degil aku mula lentur perlahan-lahan. Dia bagi aku telan ubat apa ni? Panahan cinta apa ni dia guna? Ish, bahaya betul Furqan ni!
“Minggu depan saya ke Kedah.”
“Ya, Tok mi ada beritahu. Berapa lama?”
Amboi, Tok mi lah reporter Furqan rupanya.
“ 3 hari. Urusan kerja. Ada projek besar dekat sana. Resort.”
“Mesti saya rindu.”
“Jangan call saya. Jangan whatsapp saya.”
“Ehh kenapa pula?” Furqan seakan terkejut. Dia terus menolak pinggannya jauh sedikit dari dirinya.
“Biar. Biar kita macam ni. Saya nak lihat sama ada betul ke yang hati saya pilih awak.” Ujar aku lembut. Boleh pula cakap lembut aku ni sekarang, ya?
“Tapi saya rindu. Macam mana dengan rindu saya? Call dengar suara awak satu minit pun jadilah Fia.”
“Tolong. Saya nak uji hati saya. Saya tak nak saya salah pilih kali ni.”
Furqan terdiam. Dia sepertinya sedang berfikir.
“Mimpi yang Allah dah beri pada saya iaitu awak. Saya dah pilih awak dan… Ya, saya yakin yang awak akan pilih saya.”
Aku terharu. Betul ke mimpi Furqan adalah aku? Allah hadirkan aku dalam mimpinya? Kenapa awak ni terlalu manis bergula sangat Furqan?
“Saya pernah kata, saya tak akan cakap perkara yang saya rasa tak mungkin. Saya pernah cakap dulu, apa yang saya nak, saya pasti akan dapatkan. Apa yang saya cakap, saya pasti akan jadikan ianya realiti. Tapi saya lupa, awak manusia, bukannya perkara seperti kes-kes yang saya selesaikan selama ni. Saya sedar awak gadis, gadis yang pernah terluka. Belum tentu mimpi tu tanda jawapan dari Allah yang awak jodoh saya. Tapi entah kenapa, hati saya kuat katakan memang awak. Memang awak.”
Awak tunggu saya Qan. Tunggu saya dapatkan jawapan bagi hati saya. Tunggu saya. Malam tu aku cakap sorang-sorang dalam bilik. Baru berapa jam lepas aku keluar makan dengan Furqan. Tapi ni dah rasa rindu. Nanti kalau aku kat Kedah macam mana? Jumpa memang tak lah. Nak call, aku yang pandai-pandai tak bagi. Urmmmm.
****
SEHARI berlalu. Sehari dah aku di Kedah. Penat juga ni, padahal baru aje ukur tempat. Urmmm. Telefon aku memang senyap betul! Nampak sangat Furqan turut permintaan aku.
“Syafia nak makan dekat mana?”
“Mana-mana ajelah. Tapi kalau boleh, saya macam teringin nak makan satay pula.”
“Saya tahu satay mana yang sedap dekat Langkawi ni.” Rizal memandu dengan cermat. Dialah yang nak ambil alih resort dekat Langkawi ni. Banyak juga dia buat projek. Dekat Malaysia ni entah dah banyak dah hotel dia. Ni sekarang, nak cuba pula ambil alih resort. Pandai betullah cari duit dia ni.
“Terima kasih sebab ajak saya makan satay yang paling sedap ni. Betul sedap sangat satay dia.” Ujar aku. Tadi memang rasa nak jilat kuah kacang tu, satay pun lembut aje. Rasa macam nak makan lagi, tak nak balik.
“Ni, saya ada bungkuskan satay untuk awak. Tengok awak makan tadi macam tak cukup sangat. Saya dah kata, memang sedap.” Rizal menghulurkan plastik yang berisi satay. Dia bungkus untuk aku?
Memang tak cukup kaki dengan tangan aku masuk bilik nanti terus makan!
“Terima kasih. Wah, tak sabar saya nak makan.” Aku mengambil huluran tersebut.
Diam seketika diantara kami. “Saya nak..”
“Syafia.” Panggil Rizal. Belum sempat aku nak minta diri naik ke bilik. Sekarang ni kami di lobi hotel ni.
“Awak nak apa?” Tanya dia.
“Tak, awak kenapa tadi? Awak ada nak apa-apa ke panggil saya?” Aku tak jawab pertanyaan dia. Aku menantikan kata-kata dari dia.
Rizal menggelengkan kepala. “Tak ada apa. Cuma esok nanti saya ambil awak jam 9 pagi. Kita sarapan dulu dan baru pergi tengok resort tu lagi.”
Aku rasa tak puas hati. Nak apa sebenarnya dia ni? Macam ada sesuatu yang dia sembunyikan dari aku. Ya ke? Atau ni perasaan aku saja.
“Okeylah macam tu. Saya nak masuk bilik saya dulu. Jumpa esok.” Setelah meminta diri, aku terus melangkahkan kaki ke arah lif.
Dah rindu. Rindu dekat Furqan. Urmmmm.
Aku rindu, dah dua hari dah aku di Kedah. Dua hari juga tak dengar suara Furqan.
“Awak memang single lagi ke?” Tiba-tiba Rizal menanyakan aku soal ni. Aku mendongak memandang dia.
“Kalau saya single pun, kenapa?” Tanya aku.
“Awak marah kalau saya cakap yang saya dah mula suka kat awak?”
Terkejut aku. Biar betul? Aku rasa macam nak gelak guling-guling dekat sini. Apa kes dah ni? Ada orang suka aku? Beraninya Rizal. Rasa nak rakam balik aje, bagi Lisa dengar. Ada juga orang suka perempuan degil macam aku ni.
Kau lupa ke Fia, yang si Furqan tu bukan ke suka kau juga?
Aah, kan?
“Awak betul ke maksudkannya ni?”
“Ya, saya dah mula suka awak sejak saya berurusan dengan awak. Bukan di sini. Sejak kita berurusan di KL lagi. Saya pernah gunakan khidmat awak untuk ubahsuai ruang dewan hotel saya dulu. Sejak tu saya mula suka awak. Lama, kan?”
Aku menyedut jus yang berada di depan aku. Masa tu tahun lepas kut, ya, tahun lepas aku pernah juga berurusan dengan Rizal. Lama juga tu dia simpan hati dekat aku. Setahun lebih.
“Saya ada satu permintaan.”
Aku angkat kening. “Apa?”
“Kalau awak sudi nak beri saya ruang untuk kenali awak, malam ni sila hadirkan diri makan malam dekat restoran hotel penginapan kita ni. Pukul 8.”
Wah wah!!! Tak sangka secepat tu. Tapi? Perlu ke?
Rizal baik. Lama juga aku kenal dengan dia, dia memang seorang lelaki yang baik. Dia juga lelaki yang kuat bekerja. Lelaki yang jujur. Jadi, perlu ke?
Malam tu… Tepat pukul 8 malam…
Aku call Tok mi. Aku dah buat keputusan dah. Aku harap Tok mi terima. Semua akan terima keputusan aku.
“Fia sihat?” Tanya Tok mi di hujung talian. Aku tersenyum.
“Sihat Tok mi. Tok mi dengan Tok yah sihat tak?”
“Sihat juga ni. Rindu dengan Fia laa. Rindu nak gaduh dengan cucu Tok mi ni.”
Amboi, bila gaduh dengan aku, kata benci aku la, kata geram dengan aku la, ni rindu pula.
“Baru je dua hari. Dulu masa Fia ada projek dekat Jakarta seminggu, Tok mi tak cakap pula rindu.”
“Dah tua ni, memang macam nilah rasa. Nanti Fia balik, Tok mi masak sedap-sedap.”
“Jadi, selama ni Tok mi tak tua ke? Tok mi anggap diri muda, ya?”
“Kamu ni Fia! Ada aje nak buat Tok mi ni geram!!”
Aku dah ketawa mengekek-ngekek. “Kata tadi rindu nak gaduh dengan Fia. Ni Fia cari jalan gaduh la ni. Tok mi….” Panggil aku di hujung ayat.
“Apa dia? Lain macam aje bunyinya.”
“Fia dah buat keputusan, yang Fia…”
****
“SAYA faham. Hati tak boleh dipaksa.” Rizal bernada sayu. Aku buat-buat tak tahu. Ya, aku tak terima dia.
Semalam, satu hari aku semabang dengan Tok mi. Aku tak hadirkan diri pun makan malam bersama Rizal. Dalam jam 10 malam, baru aku mesej Rizal maklumkan yang aku tak boleh. Dalam hati aku dah ada dia. Dalam 3 hari ni, masa yang cukup singkat, dah buat aku sedar, aku nak teruskan hubungan aku dengan dia. 3 hari je dah buat aku lama berfikir. Padahal 3 hari je kut. Tapi rindu aku pada dia macam 3 tahun. Ni kalau balik aje KL, dengar suara dia, memang aku rasa nak peluk-peluk aje. Nak cium-cium aje dahi kepala, rambut dia tu!
Semalam…
“Yang Fia pilih Megat Furqan. Fia harap dia terima Fia bila Fia balik KL nanti.”
“Alhamdulillah. Tok mi tau, kali ni Tok mi tak silap. Dia memang sesuai untuk kamu Fia. Megat asyik mai sini aje tau. Datang sini tengok gambar kamu. Asyik ucap rindu dekat Tok mi aje. Dia rindu kamu sangat-sangat tu. Kamu tak ada ke call dia?”
Nak call apanya, aku yang larang dia call aku. Memang aku nak uji hati ni, betul ke aku pilih dia. Dan sekarang terbukti.
Tapi… Tiba-tiba…
“Nak kahwin dah Megat Furqan ni.”
“Apa?!” Aku yang sedang termenung teringat panggilan semalam antara aku dengan Tok mi terus saja melayang tiup angin. “Awak cakap apa tadi?”
“Ni, Megat Furqan dah nak kahwin tak lama lagi dengan pilihan hati dia. Awak kenal Megat? Anak Dato Megat Ezwan tu. Dia peguam terbaik di Malaysia.” Ujar Rizal laju. Tak ada titik!
Prank prank prank!!!
Hati aku dah berkecai satu persatu. Nak menangis sangat dah. Aku terus merampas surat khabar tu di tangan Rizal.
MEGAT FURQAN AKAN BERKAHWIN
Aku baca tajuk surat khabar tu berulang kali. Betul nama dia. Dan betul gambar dia! Sampai hati awak Furqan. Konon eh kau! Cakap dengan aku tak serupa bikin! Cintakan aku, pilih aku, rindu aku, janji bagaikan gunung.
Bagaikan nak daki gunung everest Tapi? Lastly? Dia daki Batu caves aje! Dasar penipu! Aku tak percaya lagi dia!!!!
Telefon aku dah berdering-dering minta di angkat. Aku tengok pemanggil dari siapa. Dari Tok mi! Sah! Tok mi mesti terkejut. Tok mi jangan risau. Fia tak akan sedih-sedih! Jantan tak guna!
Lepas tu Lisa pula yang call. Ni mesti semua terkejut! Tapi asal Furqan tak call?
Gilosss!
Buat apa dia nak call, dia dah nak kahwin tak lama lagi. Tak akan dia nak call aku pula. Nak cakap yang dia dah tipu aku? Atau nak cakap yang dia tak mampu tunggu aku selama 3 hari ni? Ishhh! Aku tak akan menangis sebab lelaki!
Siut! Aku nak cincang-cincang aje Furqan saat ni. Boleh juga masak daging cincang buat begedil daging! AHHHHHHH! Jerit dalam hati jela mampu. Panggilan manusia dari KL tu aku biarkan.
****
SAMPAI KL, aku berlagak biasa. Aku tengok rumah kosong. Tanya bik, bik kata Tok mi dan Tok yah keluar dari petang tadi. Aku berlalu ke tingkat atas, naik ke bilik aku. Aku tak sedih.
Fia tak akan sedih maa, Fia tak akan sedih paa.
Aku tenung gambar arwah mama dan papa di sisi meja katil tu. Sejak pagi tu, aku tak ada nangis langsung. Aku buat biasa. Chill la, aku dah pernah kecewa lagi teruk dari ni. Tapi teruk juga Furqan buat aku. Ahhh sudah! Sama aje semua.
Tiba-tiba…
Aku peluk bantal. Aku menutup muka aku. Aku tak tahan, aku menangis juga!
Perempuan memang tak boleh lari dari menangis, kan? Huh!! Aku tak tahan.
“Kenapa awak buat saya macam ni. Kenapa? Saya dah mula nak beri hati saya ni kat awak!!! Kenapa? Jahatnya awak Qan!” Tersendu-sendu aku menangis.
“Ehh air mata, kenapa kau keluar?!”
PAGI tu aku datang ke opis seperti biasa. Cermin mata Rayban terletak elok di wajah. Nak cover mata ni. Tak nak nanti Lisa anggap aku lemah. Pagi tadi masa keluar pun, terus aje keluar. Jam 7 dah keluar rumah. Tak nak terserempak dengan Tok mi dan Tok yah. Tak sedar semalam mereka balik pukul berapa. Lepas nangis aje aku pun tertidur.
“Rindunya saya dekat bos. Wah, bukan main lagi, sesejak nak kahwin ni siap pakai spec lagi masuk opis. Berseri muka.” Afifah menegur aku. Aku meluru masuk aje. Selalu aku ucap juga selamat pagi untuk dia.
Kepala otak dia! Berseri? Dia tak tahu ke yang aku nangis macam separuh mati. Berseri lagi muka si Furqan tu nak kahwin tau! Aku nak kahwin dengan siapa pula si Afifah ni. Dengan bapak dia ke?! Ishhh geram! Ingat masuk opis boleh tenangkan hati. Tapi lagi tak tenang pula dah!
Aku buat kerja macam biasa. Sarapan tak apa semua tak. Jam pun dah menunjukkan pukul 9 pagi. Lisa memang tak ada lagi, dia jumpa klien dekat luar. Mungkin tengah hari baru masuk opis.
“Hai princess.”
Aku mendongak melihat tetamu yang datang. Suara memang aku cam, suara tu yang aku rindu sangat! Tapi apa dia buat dekat sini?
“Apa awak buat dekat sini huh?!” Aku terus bangun. Aku capai kotak tisu di atas meja aku.
“Saya nak jumpa awaklah. Saya rindu awak.” Ujarnya.
Aku genggam kotak tisu tu sampai dah renyuk. “Rindu kepala otak awak! Awak dah nak kahwin, masih lagi nak mempermainkan saya eh?! Saya bukan perempuan yang mudah awak nak main-mainkan. Keluar dari bilik saya sekarang! Saya tak nak tengok muka awak!”
Huh, nak mati aku rasa sebab tengking orang pagi-pagi ni.
Aku nak lanyak aje Furqan sekarang ni. Aku tengok Furqan terkejut. Sejambak bunya yang disembunyikan di belakangnya terjatuh melurut. Dia menghampiri ke arah aku.
“Kenapa ni Fia? Apa dah jadi? Kenapa awak marah saya sangat ni?”
Bodohnya. Dia dah nak kahwin, lepas tu boleh lagi nak permainkan aku, dia boleh tanya kenapa aku marahkan dia? Ni peguam ke tidak?
Aku apa lagi, aku baling kotak tisu tepat ke arah muka dia saat ni!
“Apa jadi ni Fia?!” Tiba-tiba Lisa dan Afifah dah tercegat depan pintu bilik aku. Aku menjeling tajam ke arah mereka.
“Ni nasib baik kotak tisu. Kalau ada pisau, dah lama saya tikam awak!” Sempat lagi aku berkata demikian. Geram sangat.
“Apa kau dah buat dekat bakal suami kau ni Fia?!” Lagi sekali suara Lisa kedengaran.
Aku melihat Lisa menghampiri aku dan Furqan. Bakal suami aku? Furqan? Apa ni?
Aku mendongak melihat Furqan yang dah bersakai muka dengan helaian-helaian tisu tadi. Apa yang Lisa cakap?
****
“ALASAN apa kali ni awak nak beri untuk tolak cinta saya?”
Aku tersenyum geli hati. Amboi, sindir aku.
“Satu aje alasannya. Tapi alasan ni bukan untuk tolak cinta awak. Alasan ni adalah kenapa saya terima awak.” Ujar aku. Sikit pun tak pandang ke wajahnya. Aku hanya melarikan anak mata aku melihat langit malam tu.
Penuh bintang. Bintang semua nak dekati bulan. Urmm. Aku bersandar di kereta buruk bakal suami aku tu. Kereta Mr.Bean dia. Haishhh! Nampaknya kena biasakan dirilah ni.
Teringat kejadian minggu lepas, kes aku baling kotak tisu tepat ke muka Furqan. Kesian dia. Nasib baik masa tu Lisa sampai.
“Kau kenapa ni?”
“Dia dah nak kahwin, dia masih lagi nak dekat-dekat dengan aku. Tak malu ke?”
“Salah ke dia nak dekat dengan kau? Kaulah bakal isteri dia. Kau tak baca surat khabar ke semalam?” Lisa pandang aku. Aku pandang Lisa.
“Sebab aku bacalah, aku tahu yang aku dah dibodohkan oleh dia!” Aku langsung tak pandang Furqan. Tiba-tiba Furqan terus berhadapan dengan aku.
“Kita akan kahwin tak lama lagi. Awak kata yang awak setuju untuk pilih saya.” Ujar Furqan pula.
Aku makin pelik, apa ni?
“Jap jap.. Kau betul-betul ke baca paper semalam?”
Aku pandang Lisa pula. Aku angguk. “Betullah. Kalau tak, macam mana aku boleh tahu yang dia ni nak kahwin!” Aku jeling tajam ke arah Furqan.
“Afifah, bawa surat khabar semalam ke sini. Ada atas meja saya.” Pinta Lisa. Cepat-cepat Afifah keluar dan cari surat khabar semalam.
“Kau baca ni.” Lisa hulurkan surat khabar kepada aku. Aku pun baca. Baca tajuk besar macam semalam. Tak ada apa pun yang berubah. Ingat kat situ akan berubah ke kata yang, MEGAT FURQAN TAK JADI KAHWIN. Ish, mana akan berubah! Lainlah kalau surat khabar hari ni.
“Kau jangan baca tajuk besar aje. Baca semua sekali.” Lisa bersuara lagi. Aku nak tak nak baca juga.
Perenggan yang ketiga, ada mengatakan.
Megat Furqan juga mengaku yang hatinya telah dicuri oleh cucu kepada Tan Sri Hamid iaitu gadis cantik yang bernama Ilmi Syafia. Dia juga berkata yang dia akan mendirikan rumahtangga tak lama lagi. Begitu hebat anak muda kepada Dato Megat Ezwan ni, apabila, telah menang beberapa kes dalam mengendalikan kes yang dialami oleh Datuk Kadir pada jumaat yang lalu. Datuk Kadir berkata, dia tidak sia-sia mengupah peguam sehebat Megat Furqan. Apa pun, kami sebagai rakyat Malaysia, turut mendoakan kebahagian Megat Furqan dan bakal isterinya.
Dari situ aku sedar. Kenapalah aku tak baca surat khabar tu dengan teliti? Rizal pun satu, agaknya dia dan aku hanya baca tajuk besar sahaja.
“Apa alasan awak terima saya?” Tanya Furqan yang telah menyedarkan aku dari lamunan kejadian kelmarin.
“Alasan saya terima awak, sebab… Awak cintakan saya dan saya turut cintakan awak.” Ujar aku. Lega rasanya.
Ya, kalau benar dia memang untuk aku, pertahankanlah dia untuk aku ya Tuhan. Dulu macam-macam alasan aku beri nak tolak dia, dan sekarang, ada alasan juga kenapa aku terima dia. Sebab dia cintakan aku dan aku cintakan dia.
“Boleh saya tahu, mana awak dapat tahu yang saya pilih awak masa tu? Saya belum balik KL lagi masa tu, kan?” Aku bertanya kepada Furqan, yalah, mana dia tahu yang aku pilih dia.
“Instinct”
“Yeje.” Tak percaya aku.
Furqan tergelak besar. “Betul, naluri saya dapat rasakan yang awak rindu saya masa tu. Tapi saya tak tahu yang awak pilih saya. Sehinggalah malam sebelum tu, Tok mi call saya, dia cakap saya kena bersiap sedia. Dia cakap yang awak dah pilih saya. Apa lagi, esok bila ada temu ramah dengan wartawan, gembira punya pasal, sampaikan saya nak kahwin dengan awak saya duk bercerita. Gembira sangat masa tu!”
Ni Tok mi punya pasal rupanya. Cepat aje ya Tok mi ni. Dah jadi wartawan berjalan pula dah! Aishh, bukan main lagi orang tua tu. Tua-tua pun, tu yang aku sayang.
“Terima kasih.”
Aku mendongak memandang Furqan. “Untuk apa?”
“Sebab pilih saya. Kata-kata saya dah jadi satu realiti.”