Sudah terlewat kah aku??????
Bunyi nyaring dari telefon bimbit itu membuatkan Nazri
tersentak dari tidur. Terpinga-pinga bangun sambil menggosok-gosok mata akibat
silau dari cahaya lampu kalimantan yang terlupa ditutupnya. Sejenak Nazri
sempat berfikir dan cuba meneka siapa pemanggilnya. Sudah agak lama dia tidak
menerima panggilan telefon lewat malam begini. Kalau tiga tahun dulu panggilan
lewat begini telah biasa ditunggunya. Sekilas kenangan yang cuba dilupakan
terlintas di ruang mata. Terlalu pedih dan kejam untuk terus diingati. ‘Ah,
angkat handset tu dulu kalaupun ingin berkhayal,’ kata hati Nazri. Telefon
bimbit itu senyap serta merta di saat tangan Nazri hampir mencapainya.
Mengganggu saja malam-malam begini. Tak tahukah orang nak tidur? Tetapi
marahnya sekejap sahaja kerana di ketika itu juga tangannya tetap mengangkat telefon
itu. Ditekan-tekan butang untuk mencari sesuatu. Nah, sekarang apa yang
dicarinya telah ditemui! Dirasakan seperti masa berjalan terlalu lama. Semenjak
mendengar deringan handset semalam, Nazri resah. Dia sendiri tidak mengerti
mengapa dia harus berperasaan begitu. Yang nyata nombor telefon pemanggil
semalam telah mengganggu ketenangannya selama ini. Nombor itu telah lama
diluputkan dari handsetnya sebagaimana nama pemanggilnya yang telah cuba
dibuang jauh-jauh dari ingatannya. Terlalu payah untuk dilupakan dan ketika dia
benar-benar boleh melupakan, mengapa panggilan semalam harus muncul? Setelah
Nazri ditinggalkan tanpa belas kasihan, kini dia muncul kembali. Dafrina,
kemunculannya sekadar bayang-bayang kini mengundang kontroversi dalam diri
Nazri. Panggilan yang tak sempat diangkat semalam membuatkan Nazri kurang
waras! Mengapa tiba-tiba Dafrina menghubunginya setelah lima tahun tidak saling
berhubung? Masih belum puaskah dia menyiksa Nazri? Kenangan masa lampau
menghantuinya. Telefon yang berbunyi tidak terus diangkat. Nazri hanya
tersenyum sambil memandang nombor yang tertera. Seperti biasa Nazri menunggu
telefonnya senyap sebelum membalas panggilan itu kembali. “Hello, Ina....”
“Hai, Ina baru je telefon Naz. Apasal Naz tak jawab? Ina sedih tau...” “Eh...
bukan sengaja. tengah sibuk tengok bola sepak kat TV tadi. Apa hal telefon
malam-malam buta ni? Tak tidur lagi ke?” “Tak ada apalah. Nak telefon saja-saja
tak boleh ke?” “Bukan tak boleh. Tapi, manalah tau kalau-kalau ada perkara yang
nak kena tolong lagi. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
“Taklah. Sebenarnya Ina nak ucapkan terima kasih sebab pertolongan minggu lepas. Sekarang
baru Ina
lega sebab masalah tu dah settle. Terima kasih ye!” “Yelah... sama-sama kasih.”
Nazri mula berkenalan dengan Ina yang baru seminggu bekerja di syarikat
pembinaan itu ketika Ina menghadapi masalah berkaitan dengan bil telefonnya.
Sebenarnya, tak ada apa yang Nazri tolong. Dia sekadar temankan Dafrina ke
pejabat TM Touch. Sebelum tu sudah dua tiga kali Dafrina pergi dengan
kawan-kawannya tapi tak jumpa di mana pejabat tu. Runsing apabila memikirkan
sim card telefonnya tak sampai-sampai sedangkan bilnya pula sampai. Akhirnya,
masalah itu dapat diselesaikan. Bermula dari hari itu Nazri yang bekerja
sebagai pembantu tadbir biasa di pejabat itu mula bermesra dengan Ina pelajar
lepasan STPM yang masih menanti keputusan STPMnya. “Ina ada banyak kerja ke?”
“Apasal... nak ajak Ina keluar ke?” “Emmm....rindulah.” “Eh, minggu lepas dah
jumpa. Cepatnya rindu.” Dafrina buat-buat terkejut tetapi sebenarnya dia
sendiri ingin sangat bertemu Nazri untuk membincangkan suatu hal penting
tentang masa depan mereka berdua. “Alah, bolehlah...” Nazri merengek manja.
“Yelah, yelah. Ina free esok.” Jawapan itu amat melegakan hati Nazri.“Ok.. kita
pergi lunch sama-sama,” kata Nazri. “Ok.. Bye!” Ina mengakhiri perbualannya.
Dafrina wanita pertama yang hadir dalam hidup Nazri. Dialah yang pertama dan
terakhir bertakhta di hati Nazri. Tak sangka pertemuan yang singkat dan tanpa
dirancang itu membuahkan satu kelainan dalam perhubungan. Nazri terlalu
menyayangi Dafrina. Dia terlalu mengharapkan kesetiaan dan kejujuran Dafrina.
Segala permintaan Dafrina dia turutkan. Segala kata-kata Dafrina, Nazri ia kan.
Nazri terlalu menyanjung Dafrina sehinggakan Nazri tidak pernah ingin membalas
pengkhianatan yang Dafrina lakukan. Tak disangkanya pertemuan dengan Dafrina
hari itu akan mengakhiri perhubungan mereka untuk selama-lamanya! “Ina dah
dapat tawaran mengikuti kursus Perumahan, Pembangunan Dan Perancangan (HBP) kat
USM.” Kata-kata Dafrina membuat Nazri melonjak gembira bersamanya. “Baguslah
tu... kan Ina teringin sangat nak jadi seorang arkitek yang terkenal. Lepas
empat tahun nanti boleh kita kerja sama-sama lagi di syarikat ni.” “Emm...
harap-harap impian Ina akan menjadi kenyataan. Tapi....” “Tapi apa Ina? Ada
masalah yang boleh saya tolong?” Nazri menyampuk. “Bila Ina dah bergelar
arkitek nanti, takkan Naz masih nak bergelar pembantu pentadbir rendah saja di
syarikat ni. Ina suruh Naz sambung belajar pun Naz kata tak boleh sebab kena
tanggung adik-beradik belajarlah, emak sakitlah. Naz pun degil!!! Malulah Ina
nanti...” Kata-kata Ina umpama petir yang menyambar hati Nazri. Tak disangka
Dafrina akan berubah dalam sekelip mata sahaja. “Jadi...apa keputusan Ina
sekarang?” Nazri menyoal Ina sambil merenung
tepat ke
matanya. Ina berpaling kerana tidak tahan dengan renungan tajam Nazri.
“Lupakan
Ina. Jangan tanya mengapa sebab masalahnya datang dari diri Nazri sendiri.
Rasa-rasanya kita memang tidak dapat bersama. Perjalanan Ina masih jauh. Kalau
Nazri tak nak ikut biar Ina pergi sendiri. Dengan diri Ina sekarang Ina rasa
dah cukup untuk Ina melangkah.” Ayat Ina yang penuh angkuh itu merobek hati
Nazri. Kini lima tahun sudah berlalu. Sudah dapatkah apa yang dicari Dafrina?
Apakah Dafrina ingin kembali kepadanya? Jika itu terjadi bererti Dafrina pergi
dahulu bukanlah membenci dirinya tetapi pergi untuk mencari apa yang dihajati.
Lima tahun berlalu bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Dalam tempoh selama
itu cukup banyak penyiksaan yang telah Nazri alami. Terlalu payah untuk
melupakan Dafrina. Hari-hari yang dilalui terasa kosong tanpa Dafrina. Nazri
berharap itu hanyalah sekadar mimpi. Nazri benar-benar berharap agar Dafrina
akan kembali kepadanya suatu masa nanti. Benarlah Dafrina akan kembali...
kerana semalam Dafrina telah menghubunginya walaupun tidak sempat untuk Nazri
sambut panggilan itu. ‘Mengapa semalam aku tidak terus membalas panggilan itu?
Ah, nanti dulu. Biarlah Dafrina pula yang telefon aku, semoga panggilan itu
sebagai memohon maaf di atas apa yang dia lakukan dulu.’ Nazri cuba memujuk
dirinya agar tidak menghubungi Dafrina. Bagaimana kalau Dafrina tidak
menghubunginya? Persoalan itu kembali membuatkan Nazri resah. Deringan telefon
larut malam itu sekali lagi membuatkan Nazri tersentak. Dia mengagak tentunya
panggilan itu dari Dafrina, panggilan yang telah seminggu ditunggunya. Tidak
perlu berkhayal dan tidak perlu teragak-agak lagi. Nazri terus mencapai telefon
bimbitnya. Dibuka luas-luas matanya dan dilihatnya nombor yang tertera pada
skrin telefonnya. Sah, tidak silap lagi itu nombor telefon bimbit Dafrina.
Tanpa membuang masa lagi, Nazri terus menekan butang ok untuk menjawab
panggilan itu tetapi sebelum itu dia sempat berdehem sekali untuk benar-benar
yakin suaranya akan keluar dengan lancar. Di saat telefon dilekapkan ke
telinga, dada Nazri berdegup kencang. Benarkah apa yang sedang dialaminya?
Suara yang ditunggu-tunggu sejak lima tahun lalu akan didengarinya lagi. Tidak
bermimpi kah dia? Ah, jangan berkhayal lagi lagi, jerkah hati Nazri. “Hello, Ina,”
suaranya bergetar. Nazri tidak dapat mengawal degupan jantungnya sehinggakan ia
jelas pada suaranya. “Bukan Ina lah, ini Tilla,” sahut suara halus di sebelah
sana, seperti suara seorang kanak-kanak. “Tilla??? Abang tak kenal Tilla...!”
Nazri mengerutkan dahi seolah-olah suara yang bercakap itu ada di depannya.
“Memanglah abang tak kenal sebab kita tak pernah jumpa.” “Habis tu Tilla nak
apa?”
Agak tinggi
suara Nazri.
Menyampah
apabila suara yang diharap-harapkan tidak kedengaran sebaliknya suara budak
perempuan itu yang diganti. “Syhhh... Perlahankan sikit suara abang. Nanti Che
Su marahkan Tilla.” “Siapa pula Che Su, apasal dia marah?” Nazri semakin bosan.
“Telefon ini Che Su yang punya. Dia marah kalau Tilla main telefon ni.” Suara
Tilla yang semakin petah menarik perhatian Nazri. Ah, tak dapat cakap dengan
Dafrina, budak ni pun jadilah. Tapi dia hairan bagaimana budak ni dapat nombor
telefonnya? “Bagaimana Tilla dapat nombor telefon abang?” “Dalam telefon ni ada
banyak nombor, tapi nama abang seorang je lelaki. Tilla tekanlah nak tahu sapa
orangnya.” Hairan! Macam mana nombor telefonnya ada dalam telefon Che Su. Siapa
pula ni? Nazri semakin keliru. “Tilla ni adik Che Su ke?” “Taklah. Che Su tak
ada adik. Tilla ni anak kakak Che Su.” “Oh, jadi Che Su mak saudara Tilla lah
ye.” “Ha, pandai pun abang ni.” Nazri tersenyum geli hati bila Tilla memujinya.
“Abang, Tilla telefon lain kali ye. Nanti Tilla bagi tau satu cerita kat
abang,” janji Tilla. “Eh.. tapi kenapa lain kali? Abang ada banyak nak tanya adik
ni..” “Sorry... Che Su dah bangun, bye!” Tilla sudah matikan telefon. Nazri
ingin tahu siapa Che Su dan apa hubungannya dengan Dafrina. Nazri pasti tentu
ada sesuatu di sebalik semua ini. Kalau tidak masakan nombor telefon Nazri
tersimpan di dalam telefonnya. Mesti ada sesuatu di sebalik semua ini. Nazri
menoleh ke arah jam loceng di atas laci di hujung kepala katilnya. Pukul 11.50.
Apa Tilla buat tak tidur lagi waktu begini? Kanak-kanak lain telah lama masuk
tidur kerana esok akan ke sekolah. Nak telefon Tilla? ‘Jangan, nanti Tilla kena
marah dengan Che Su,’ larang hati Nazri. Berkali-kali telefon Nokia di
tangannya direnung. Hatinya resah menanti. Kenapa telefonnya tidak berbunyi
lagi? Kenapa Tilla belum menghubunginya lagi? Mungkin Tilla dah tidur. Jangan
begitu Tilla, banyak lagi perkara yang ingin dicungkilnya kerana dia yakin
semua ini ada kaitan dengan Dafrina. Hati Nazri kuat mengatakan begitu. Nazri
ke dapur membancuh secawan kopi. Sekilas dijelingnya ke arah ruang tamu.
Fail-fail pejabatnya bersusun tidak terusik. Tidak betah dia ingin menyudahkan
kerjanya kerana hatinya yang resah dan bercelaru. Kalau dipaksa pun pasti tiada
kualiti. Belum sempat Nazri mencapai cawan, telefon di dalam koceknya
bernyanyi. Diseluknya kocek lalu ditarik keluar telefonnya. Tanpa melihat skrin
Nazri terus menekan butang ok sambil terus dihalakan ke telinga. “Tilla ke tu?”
Tak sabar-sabar Nazri ingin mendengar suara Tilla. “Yelah, Tilla ni.” “Kenapa
lambat telefon? Tak sabar abang nak dengar cerita Tilla.” “Che Su tak tidur
lagi. Kalau Che Su tidur baru Tilla boleh telefon abang.” “Kenapa nak
tunggu Che Su
tidur dulu sedangkan Tilla sendiri tak tidur."
Rasa-rasanya
apa yang ingin diketahuinya akan terjawab sebentar lagi. Nazri semakin tidak
sabar. “Sebenarnya Che Su sakit. Dulu Che Su sakit sikit aje, tapi sekarang Che
Su dah tak boleh bangun. Tilla tak dapat tidur kalau Che Su tak tidur. Tilla
kasihankan Che Su. Tiap kali Che Su menangis Tilla tengok mama, mak cik, nenek
dan semua orang menangis.” “Tilla tak nangis ke?” Pancing Nazri. “Tilla tak
dapat nak nangis. Air mata Tilla tak nak keluar.” Suara Tilla sayu. Nazri dapat
bayangkan suasana seperti yang diceritakan Tilla. “Dah lama Che Su sakit?” Soal
Nazri lagi. “Dah lama dah. Dulu Che Su sakit sikit aje, Che Su masih pergi
sekolah tapi lama-lama Che Su tak pergi dah. Lepas tu Che Su masuk hospital,
lama. Che Su sembuh sekejap tapi lepas tu Che Su sakit sampai sekarang.” “Che
Su sakit apa Tilla?” Nazri cuba menyampuk sekali-sekala. Kasihan jugak dia bila
budak tu aje yang bercakap. “Entah, tapi Tilla ada dengar mama dengan papa
sebut kanser tulang. Tilla tak tahu apa benda tu.” “Kanser tulang?” Nazri
seakan tersentak. setahunya penyakit itu merbahaya, menyebabkan penghidapnya
menderita sebelum menemui maut. “Minggu lepas Kak Jee balik. Mama cakap Kak Jee
nak bawa Che Su pergi England. Tilla tak nak Kak Jee bawa Che Su tapi mama
cakap Che Su kena jumpa doktor.” “Kak Jee tu sapa?” “Kak Jee tu sepupu Tilla
lah." “Kak Jee bawa Che Su pergi tak?” “Tak. Che Su tak nak pergi.”
“Kenapa Che Su tak nak pergi?” “Tak tau.” “Tilla, abang tanya sikit lagi boleh
tak. Sapa nama sebenar Che Su?” “Entah, Tilla tak tau tapi nanti lain kali
Tilla tanya mama, okay.” Nampaknya pencarian Nazri semakin hampir. Dia yakin
Tilla mempunyai perhubungan dengan Dafrina. Kerana itulah Nazri seringkali
menanti panggilan telefon dari Tilla. Setiap perkataan yang dituturkan oleh
Tilla semakin menarik perhatiannya. Dirasakan apa yang didengarinya semakin
membawanya dekat kepada Dafrina, insan yang ditunggunya selama ini. Malam ini
seperti biasa Nazri menanti Tilla dalam resah. Nazri ingin terus mendengar
cerita Tilla dan dia ingin terus mengikuti perkembangan Che Su biarpun dia
tidak mengenali siapa gadis malang itu. Telah seminggu Nazri tidak mendengar
suara Tilla, gadis kecil yang menarik perhatiannya. Telah seminggu juga Nazri
tidak mendengar khabar mengenai Che Su. Kasihan Che Su. Walaupun Nazri tidak
mengenali siapa gadis itu namun Nazri dapat merasakan penderitaan yang
ditanggung. Nazri cuba bayangkan tentang diri Che Su. Mengikut cerita Tilla,
Che Su tiada adik. Maknanya Che Su anak bongsu. Dafrina anak bongsu dalam
keluarganya! Semakin lama difikirkan semakin banyak yang dapat Nazri bayangkan.
Nazri cuba membandingkan Che Su dengan Dafrina. Mungkin Che Su sebaya Dafrina.
Dafrina juga masih belajar dan
mungkin
sekarang ni, Dafrina sedang seronok bersama teman-teman sekuliahnya. Kata Tilla
lagi Che Su masih sekolah walaupun sedang sakit. Ya, pastinya Che Su seorang
yang tabah. Pada andaiannya Che Su mungkin sepupu Dafrina.
Fikiran
Nazri telah jauh menerawang, jauh tersasar dari memikirkan mengenai Tilla dan
Che Su. Ketika dia kembali terkenangkan Che Su, Nazri berjanji pada dirinya
untuk cuba melawat gadis malang itu. Tetapi, Nazri tidak pasti bilakah masanya.
Dia ingin melihat sendiri Che Su yang sering diceritakan oleh Tilla.
“Tanda-tanda orang mukmin adalah salah satunya menziarahi orang lain yang
sedang sakit.” Nazri teringatkan kata-kata ustaz di sekolahnya dulu. Dengan
petikan ini Nazri menganggap tidak salah kalau dia ingin melawat Che Su. Tapi,
bagaimana kalau Dafrina cuba menghalangnya? Menghasut keluarganya dengan
mengatakan Nazri cuba mengambil kesempatan dari keadaan Che Su untuk
menemuinya? Ah, biarkan dengan Dafrina. Biar Dafrina ingin menuduhnya apa saja.
Yang nyata Tilla mengalu-alukan kedatangan Nazri. Juga, Nazri tidak melakukan
apa-apa kesalahan. Tilla, mengapa sudah lama tidak menghubungi Nazri? Nazri
tersenyum tatkala matanya melirik ke skrin telefon bimbitnya yang sedang
berbunyi. Nombor telefon itu telah sekian lama dinantinya. Ingin melompat
rasanya ketika mendengar suara Tilla. tetapi keinginan itu tidak dapat
dilakukannya. senyumannya serta merta hilang di saat mendengar suara Tilla yang
putus-putus. Tilla menangis. “Mereka dah bawa Che Su pergi.” Suara esak Tilla
bertukar menjadi tangisan yang panjang. Nazri tidak faham tetapi dia yakin
sesuatu telah berlaku kepada Che su. Nazri sendiri merasa ingin menangis.
“Mereka tu siapa? Mereka bawa Che Su ke mana?” Soal Nazri agak kuat dan suara
Tilla juga semakin kuat. “Tilla tak tau. Tapi, Che Su tak tidur atas katil
lagi. Datuk dah angkat Che Su letak atas lantai di ruang tamu. Datuk juga
selimutkan Che Su sampai ke muka. Tilla ingat Che Su lemas sebab tu Che Su tak
bergerak.” Nazri terkedu mendengar apa yang Tilla ceritakan. Rasanya dia sudah
faham apa yang berlaku. “Hari ini bila Tilla bangun dari tidur mama cakap tak
payah pergi sekolah. Papa juga tak pergi kerja. Tilla tengok semua orang cium
Che Su sambil menangis. Semua orang tak pergi mana-mana. Kat luar pun ramai
orang. Diorang sibuk pasang papan tapi Tilla tak tau mereka buat apa. Lepas tu
mereka angkat Che Su. Mama cakap Che Su naik kereta dan nak pergi jauh. Che Su
dah tinggalkan Tilla. Abang, Tilla nak jumpa dengan Che Su!!!” “Inna lillahi
wainna ilaihi rajiun.” Hanya itu yang terlafaz. tak tau apa lagi yang harus dia
buat. Terasa ingin saja Nazri mematikan talian telefonnya. tak sanggup lagi
mendengar suara Tilla. Tetapi dia juga kasihankan Tilla.
Orang yang disayanginya telah pergi menghadap Illahi ketika dia masih belum
mengerti apa erti semua ini. “Abang juga pernah ditinggalkan oleh orang yang
abang sayang,” Nazri seolah-olah memujuk Tilla. ‘Tapi, aku tidaklah semalang
Tilla,’ bisik hatinya. Tersentak Nazri kerana baru dia ingat untuk mengetahui
nama Che Su. “Tilla, Tilla dah tanya mama nama Che Su?” “Mama cakap nama Che Su
ialah Dafrina.” Terasa hendak putus tangkai jantung Nazri. Mungkinkah nama itu
milik seorang insan yang pernah dikenalinya? Tak mungkin!!! Dafrina ini bukan
Dafrinanya! Bukan Dafrina yang ditunggunya. Bukan!!!! “Tilla jugak selalu
dengar mama dan papa panggil Che Su Ina.’ Nazri lebih tersentak. Dua nama yang
benar-benar mengusik perasaannya kini. Suara Tilla sudah tidak didengarnya
lagi. Nazri telah hanyut dalam ketakutannya sendiri. Tubuhnya berpeluh dan
menggeletar. Dia sudah tidak larat lagi untuk bersuara. Dafrina... Che Su...
Ina!!!! Sudah terlewat kah aku??????
Tiada ulasan:
Catat Ulasan