Jumaat, 3 Jun 2016

Syahadah Kasih darimu

AKU tidak pernah menyintainya. Untuk menyayanginya jauh sekali. Dia bukan idola.
Dia bukan imam hati yang kudamba. Memang agak sukar memilih jodoh tatkala
didatangi berpuluh pilihan. Berbaris calon-calon cuba mencuri hati. Sempurna segala
fizikal. Material.
“Aku pelik dengan sikap kau. Tinggalkan saja Iskandar. Tunangan orang.” Bukan
satu nasihat yang baik untukku. Pada pandangan aku, aku masih terus boleh mencuba.
Lalu nasihat Fatin kuabaikan.
“Aku nampak Iskandar dengan perempuan lain. Bukan tunang dia pun. Bukan kau
saja kekasih dia.” Aku anggap itu satu hasutan Wana. Dia memang tidak pernah senang
melihat aku bersama Iskandar. Tiada apa pun bisa menghalang impianku untuk menjadi
suri hati Iskandar.
“Kak Leha lebih suka Fahri. Dia baik.” Ringkas jawapan kakak sulungku. Aku
hanya menunduk. Mengapa bukan Iskandar jadi pilihan keluargaku?
“Ramai betul perempuan keliling pinggang. Setiap hari pasti nampak muka
baru.” Adu Shaza rakan sepejabat Iskandar. Aduh! Buntu aku. Tiada seorang pun di sisi
yang menyokong keputusanku. Ya. Memang Iskandar ramai teman wanita. Dan sudah
bertunang. Memang gemar bersosial. Tapi salahkah untuk terus menyintainya? Bukan
setahun dua aku mengenali Iskandar. Sejak tingkatan empat. Hampir sepuluh tahun.
Terlalu kenal dengannya hingga untuk aku mengahwininya.
Aku belek-belek dulang hantaran yang disusun rapi. Tujuh bakal berbalas lima.
Lagi dua hari majlis pertunangan aku dengan Fahri. Tanpa kerelaan hati. Kutatap hiasan
hantaran yang tidak membawa apa-apa makna.
“Liya dah fikir masak-masak. Liya tak boleh terima Fahri, mak,”
“Dia baik Liya. Terlalu baik. Mak tak sampai hati nak buat Fahri kecewa,” keluh
mak.
“Tapi Liya rasa bersalah kalau teruskan pertunangan ini. Kalau Liya kahwin
dengan Fahri sekali pun bukan sebab Liya cintakan dia. Tapi cuma Liya kasihankan dia,”
getusku.
“Biar kasihan itu jadi penyebab cinta Liya,” balas mak. Saat ini mak seakan tidak
memahami aku. Mak bukan lagi penyokong setia yang sentiasa setuju denganku. Kuhela
nafas panjang. Kecewa, geram dan terkilan.
Genap setahun pertunangan kami. Genap setahun juga pernikahan Iskandar
bersama tunangnya. Namun tali pertunangan dan pernikahan langsung tidak menghalang
cinta kami. Masih rasa ada jodoh kuat antara kami. Aku makin tekad. Aku akan suarakan
keinginan hati untuk mengahwini Iskandar. Biar jadi isteri kedua. Aku rela bermadu
kasih. Aku perlu putuskan pertunangan aku dengan Fahri. Tekad. Biar mereka kata cinta
kami buta. Biar aku digelar perampas kebahagiaan orang. Kebahagiaan aku? Aku berhak
menentukan kebahagiaan hidup aku sendiri. Aku lebih berhak menjadi isteri Iskandar
kerana kami telah sekian lama mengenali antara satu sama lain. Aku lebih berhak
berbanding isterinya. Aku yang sekian lama menanti Iskandar untuk menyuntingku. Aku
yang sekian lama bersabar menahan tohmahan orang terhadapku.
Lengkap segala persiapan pernikahan aku dan Iskandar. Aku telahpun
memulangkan cincin pertunangan kepada Fahri. Dia redha. Dia mendoakan yang terbaik
untukku. Dia akur segala permintaanku. Dia hanya ingin aku bahagia. Aku telah bersua
muka dengan isteri Iskandar yang kini sedang sarat berbadan dua. Aku telah menyatakan
hasratku. Air mata dan rayuannya tidak sekelumit pun terkesan di hati. Aku sedar
kehadiranku dalam hidup mereka memberi tekanan yang cukup hebat. Aku sedar dalam
keadaan lemah dia mengandungkan zuriat Iskandar, terpaksa berperang perasaan pula
denganku. Tapi apa yang boleh aku buat? Memang aku sudah bulat tekad. Aku terlalu
menyintai Iskandar. Begitu juga cinta Iskandar kepadaku. Aku yakin dia mampu
membahagiakan aku. Aku amat yakin dia mampu jadi suami yang baik untukku. Dan aku
yakin akulah isteri terbaiknya. Dan apa yang paling aku yakin adalah ujian ini untuk
kami semua. Dan kami perlu menghadapinya.
Pagi Jumaat yang cukup menenangkan. Hari bakal menyaksikan cinta aku dan
Iskandar bersatu. Sedang aku melayan perasaan gembira dan syukur kerana kami bakal
disatukan beberapa jam lagi, pintu bilikku dikuak orang. Aku terpana melihat Khadijah
di pintu. Wanita yang bakal menjadi maduku. Dia tersenyum. Tampak ikhlas. Tangan
kiri terletak kemas di perut yang sedang sarat. Tangan kanannya memegang beg yang
berisi sesuatu. Dia menghampiriku. Bukan untuk merayu atau memarahiku. Dia duduk
bersebelahan denganku. Raut wajahnya tenang.
“Liya, Khadijah jahitkan baju nikah ini untuk Liya. Pakaian paling cantik untuk
Liya yang turut sama menyaksikan cinta Liya dan abang bersatu. Sebagai bukti Khadijah
menerima Liya menjadi isteri abang. Sebagai bukti cinta suci Khadijah buat abang.
Sebagai bukti Khadijah redha dengan ketentuan Allah,” tuturnya manis. Berbutir bak
halwa. Aku menyambut huluran baju itu. Lidah kelu. Mati kata-kata. Dia memegang erat
tanganku.
“Liya, janji dengan khadijah untuk menerima abang seadanya. Segala kekurangan
dan kelebihan. Terus tetap menyayanginya walau apa yang berlaku. Walau perit mana
dugaan yang perlu Liya tanggung. Liya harus berjanji akan menjadi isteri terbaik abang.
Setia di samping abang. Sentiasa menyokong abang untuk abang jadi suami terbaik.
Ketua keluarga terbaik. Untuk anak-anak kita nanti,” sambung Khadijah sambil
mengusap perutnya. Aku masih kelu. Rasa seakan dadaku berombak. Perasaan ketika ini
berbaur. Pengorbanan kasih seorang isteri. Yang mungkin tidak akan aku lakukan.
Khadijah bangun meninggalkan aku yang membatu di sisi katil. Senyuman ikhlasnya.
Tutur katanya berbekas di hati. Aku mungkin tidak sekuatnya jika ujian yang sama Allah
turunkan untukku. Kata-katanya sudah cukup membuktikan dia yang terbaik untuk
Iskandar. Bukan aku. Walau selama mana kesetiaanku menanti Iskandar. Dia masih yang
terbaik. Walau sebesar mana cinta aku buat Iskandar. Aku sedar Khadijah yang terbaik.
Aku melangkah ke bilik air untuk berwuduk. Dan bersujud.
Alhamdulillah. Aku hampir tidak percaya aku diberi peluang berada dalam majlis
ini. Di dalam masjid. Berhampiran lelaki yang bakal menjadi suamiku. Kali pertama
memandang dia berbaju melayu lengkap bersampin. Melihat dia bersujud syukur. Cinta
yang tidak pernah ada wujud tiba-tiba. Rasa seakan benar jodohku. Perasaan yang tidak
mampu aku gambarkan tatkala melihat tangannya berjabat dengan ayah. Akad yang
dilafazkan. Hatiku meruntun cinta padanya. Terasa jiwa ini, diri ini kemas di rusuk
kirinya. Aku terlalu menyintai dia. Aku ingin menjadi isterinya yang terbaik. Aku
bersyukur padaMu kerana memilih dia sebagai jodohku. Saat dia berhadapan denganku.
Kukucup tangan kanannya. Dia memegang ubun kepalaku. Membacakan doa untukku.
Hati ini cukup tenang mendengar syahadah kasihnya. Aku tatap anak matanya yang
jernih. Seolah terpancar keikhlasan mengambilku sebagai isteri. Terima kasih Fahri.
Untuk ikatan ini. Terima kasih Khadijah kerana mengajarku menjadi isteri. Terima kasih
Iskandar kerana kehadiranmu membuka ruang hatiku untuk menyintai Fahri insan terbaik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan